MAH Negeri Sembilan alu-alukan kedatangan pelancong Bangladesh

Iklan
MAH Negeri Sembilan mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk pelancong dari Bangladesh kerana kedatangan mereka boleh membantu merancakkan ekonomi negeri. Gambar kecil: Haziz

SEREMBAN - Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan mahu menarik seberapa ramai pelancong datang ke Negeri Sembilan termasuklah pelancong dari negara Bangladesh.

Pengerusinya, Haziz Hassan berkata, sesiapa saja perlu dialu-alukan kerana kedatangan mereka boleh membantu merancakkan ekonomi negeri.

Iklan
Iklan

"Saya tak faham kenapa sasaran 10,000 pelancong Bangladesh ke Negeri Sembilan jadi kritikan sedangkan tujuan kita adalah merancakkan pelancongan di negeri ini.

"Kalau mereka datang, yang untungnya bukan saja pengusaha hotel, tapi juga peniaga-peniaga. Jadi, saya tak nampak kenapa ia perlu dijadikan isu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, pihaknya menyedari kritikan itu kemungkinan disebabkan stigma negatif masyarakat terhadap pekerja asing di negara ini yang didakwa sering menimbulkan masalah.

Bagaimanapun katanya, janganlah semua warga Bangladesh dianggap sebagai pekerja asing kerana ada juga antara mereka yang berpendidikan tinggi dan berpendapatan tinggi.

Iklan

"Saya difahamkan agensi pelancongan dari Bangladesh yang kami jalin kerjasama baru-baru ini telah bawa seramai 100 pelancong mereka ke London dan 100 lagi ke Pataya.

"Populasi penduduk Bangladesh seramai 200 juta dan dalam ramai itu ada yang kaya dan selalu ke luar negara hanya untuk bermain golf. Jadi kenapa kita tak ambil peluang itu?" katanya

Oleh sebab itu katanya, pihaknya yakin memorandum persefahaman dengan ejen pelancongan terkemuka di Bangladesh iaitu Cosmos Holiday Bangladesh yang dilakukan baru-baru ini mampu memberi keuntungan kepada Negeri Sembilan.

Malah ujar Haziz, pihaknya turut bersedia bekerjasama dengan sesiapa saja selagi ia dapat memberi manfaat kepada industri pelancongan negeri.

"Semua orang boleh cakap, yang buat kerja kita. MAH Negeri Sembilan mengambil langkah berani jalin kerjasama dengan ejen pelancongan dari Bangladesh kerana kita tahu ia akan membuahkan hasil positif.

"Lagipun mereka datang nak berbelanja di sini, kenapa pula kita nak tolak peluang yang ada di depan mata. Jadi jangan samakan pekerja Bangladesh yang sememangnya telah ada di negara ini," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran 10,000 pelancong Bangladesh berpendapatan tinggi ke negeri ini tahun ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, usaha sedang dilakukan bagi menarik kemasukan pelancong dari negara itu menerusi kerjasama dengan pemain industri mereka.

Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati, kenyataan itu menimbulkan kritikan netizen yang bimbang pelancong yang datang akhirnya akan 'melencong'.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28