SHAH ALAM - Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menegaskan tidak akan berdiam diri dengan sebarang provokasi daripada pembangkang ketika sesi perbahasan di Parlimen selepas ini.
Beliau berkata, pihaknya tetap mengambil pendekatan lantang mempertahankan segala hujah yang diutarakan kerana tidak mahu apa-apa cerita tidak benar, fitnah, adu domba atau serangan dilemparkan terhadap kerajaan.
Bagaimanapun, menurutnya, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menyentuh soal adab, akhlak dan kelakuan ahli Parlimen sepanjang sesi perbahasan amat disanjung tinggi memandangkan ia amanat pertama sejak baginda dilantik sebagai ketua negara.
"Kita juga berterima kasih di atas teguran, nasihat dan peringatan tersebut.
"Sepanjang setahun lebih memimpin kerajaan kita tak pernah guna perkataan yang kurang enak didengar, mungkin perkataan ‘beruk’ sahaja dan selepas itu tak pernah nak guna lagi perkataan tidak baik.
Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Ibrahim agar semua ahli Parlimen dan Dewan Negara perlu menjaga adab dan tatatertib selain menggunakan pertuturan yang sopan.
Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli dewan yang melampaui batas termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan berkenaan selama 14 hari.
Mohd Sany yang juga Pengarah Pilihan Raya bagi Parti Amanah Negara (Amanah) sesi 2023 hingga 2026 memaklumkan, pihaknya akur dengan titah tersebut dan akan mengikut segala arahan dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat.
Namun, apabila melibatkan situasi luar jangka, beliau mengakui tidak menolak kemungkinan untuk bersuara lantang lebih-lebih lagi melibatkan isu sensitif yang dikemukakan pihak pembangkang.
"Kita kena pertahankanlah sebab ada 222 ahli Parlimen, bila mana ada isu yang agak kontroversi memanglah nadanya agak tegas dan situasi sedikit tegang.
"Hendak kata lembut pun tidak, kasar pun tidak. Bergantung kepada situasi sidang nanti macam mana sebab saya yakin banyak isu nak dibincangkan nanti,” ujarnya lagi.