Titah Agong harus jadi panduan ahli Parlimen - Ahmad Zahid

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri). Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini sarat dengan pesanan untuk diamati, diperhalusi dan dijadikan panduan oleh semua Ahli Parlimen, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Insya-ALLAH, saya bersama-sama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan seluruh barisan ahli Parlimen kerajaan telah bersedia sepenuhnya untuk sesi perbahasan Titah Diraja bermula esok dan akan memberikan komitmen yang tinggi pada sidang Parlimen kali ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan, nasihat serta pandangan dalam pelbagai topik antaranya tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat semasa persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi, hutang negara serta kestabilan politik.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran di Facebook merafak sembah keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ke istiadat pembukaan Parlimen kali ini.

"Patik dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan,” katanya.

Iklan

Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas. - Bernama

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28