Air kelapa 'laku keras' ketika cuaca panas

Iklan
Hamid membelah kelapa untuk dijual kepada pelanggan di gerainya berhampiran Shahab Perdana, di sini.

ALOR SETAR - Peniaga air kelapa di tepi jalan berhampiran Shahab Perdana, di sini, menerima lebih ramai pelanggan berikutan musim panas melanda Kedah ketika ini berbanding hari biasa.

Peniaga, Hamid Mahmud, 77, berkata, jualan air kelapanya meningkat sekali ganda berbanding hari biasa kepada kira-kira 80 biji sehari, sekali gus membantunya menambah pendapatan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, lebih ramai pelanggan singgah untuk membeli air kelapa di gerainya sejak dua minggu lepas demi menghilangkan dahaga masing-masing selepas menempuh cuaca panas.

"Alhamdulillah, rezeki pak cik lebih sedikit sejak dua minggu ini ekoran cuaca panas," katanya ketika ditemui di gerai Air Kelapa Pak Mid Wira yang diusahakan sejak 15 tahun lepas.

Iklan

Tambahnya, dia perlu menambah stok bekalan kelapa sehingga mencecah 600 biji seminggu disebabkan permintaan meningkat dari pelanggan.

"Sebelum cuaca panas, pak cik hanya menggunakan antara 200 hingga 300 biji kelapa sahaja seminggu, namun sekarang lebih kerana sambutan hangat pelanggan,"katanya.

Iklan

Kata Hamid lagi, terdapat beberapa jenis minuman dijual di gerainya, iaitu kelapa sebiji dijual RM6, kelapa matang (RM6), kelapa pandan (RM5) yang menjadi pilihan pelanggan.

Menurutnya, selain air kelapa, dia juga menjual 'coconut shake' antara RM4 hingga RM5 yang menjadi penghilang dahaga kepada pelanggan.

Hamid menambah, dia bersyukur gerai dibuka antara jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari itu tidak putus-putus menerima pelanggan pada musim panas ini.

"Apabila hujan, pendapatan kurang pula dan tidak menentu,maka rezeki pak cik ketika cuaca panas ini lebihlah sedikit," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook pada Isnin memaklumkan menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat dengan suhu melebihi 35°C terutamanya di utara Semenanjung dan Sabah.

Setakat jam 4.30 petang, beberapa daerah di Kedah termasuklah Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling,Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena merekodkan suhu panas tahap berjaga-jaga.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28