KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan dalam usaha merancakkan pelancongan di negeri ini menerusi kewujudan aktiviti pelayaran sungai di Pengkalan Datu dan Kuala Besar, di sini pada masa akan datang.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, usaha termasuk mengenal pasti hentian-hentian yang menarik di sepanjang pesisir sungai dan pembinaan jeti-jeti melalui peruntukan promosi pelancongan yang berjumlah RM3.3 juta.
Menurut Kamarudin, pihaknya juga meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) untuk menaikkan papan tanda di lokasi-lokasi menarik yang dijangka termasuk dalam rangka pelayaran sungai tersebut.
"Ketika ini dalam peringkat akhir untuk mewujudkan pelayaran sungai atau river cruise di Kuala Besar menuju ke pulau-pulau di kawasan Tumpat seperti Pulau Suri dan Teluk Renjuna.
"Satu lagi river cruise di sungai Pengkalan Datu bermula daripada Pasir Tumbuh terus ke hilir sampai ke Kuala Pengkalan Datu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Ahad.
Majlis dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Kamarudin turut memberi gambaran pelayaran sungai itu akan melibatkan lawatan ke tempat-tempat bersejarah antaranya ziarah ke Tanah Perkuburan Kota Jembal melalui sungai Pengkalan Datu yang menempatkan kubur ulama juga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kami juga dalam proses membuat beberapa jeti di kawasan tarikan itu supaya orang ramai berhenti dan dapat melakukan lawatan.
"Trip pelayaran sungai ini disertakan dengan bantuan pemandu pelancong yang akan memberi penjelasan berkaitan maklumat sesuatu tempat singgahan tersebut,” kata beliau.
Tambahnya, perbincangan antara kumpulan pemilik bot di negeri ini juga akan dilakukan bagi menentukan harga dan pakej-pakej sesuai dengan pelayaran sungai itu.