ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun di Taman Nusa Bayu, Gelang Patah, di sini pada Isnin susulan tindakannya memandu melawan arus di 13.1J Lebuhraya Linkedua di sini, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, pada jam 9.15 malam Ahad, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri menerima maklumat berkaitan satu video tular di media sosial Facebook.
Iklan
Iklan
Katanya, video berdurasi 60 saat itu menunjukkan sebuah kereta jenis Myvi warna kelabu dipandu secara berbahaya dengan melawan arus.
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek berusia 74 tahun, berasal dari Segamat dan baru pertama kali datang ke Johor Bahru.
"Ketika kejadian, suspek dalam perjalanan ke rumah rakannya di Johor Bahru dan telah masuk ke jalan yang salah sehingga melawan arus sebagaimana yang tular di media sosial.
"Suspek kemudiannya dibawa ke BSPTD bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.