BINTANG muda berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meneruskan rentak cemerlangnya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 dengan meraih pingat emas kedua di New Delhi, India hari ini.
Pelumba berusia 19 tahun mempamerkan kayuhan bertenaga dengan merakam masa 34.388 saat (s) untuk mengungguli aksi final 500 meter (m) ujian masa di Velodrom Indira Gandhi.
Beliau mengetepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Hwang Hyeon-Seo yang mencatat 34.802s untuk pingat perak manakala gangsa menjadi milik Luo Shuyan dari China dengan 34.958s.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan pelumba kelahiran Kedah itu mengubati kekecewaannya tahun lepas apabila sekadar meraih perak dalam acara itu.
Semalam, Nurul Izzah mencipta sensasi dengan menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas negara dalam acara keirin apabila muncul juara acara itu pada ACC 2024.
Beliau mengatasi Tong Mengqi dari China yang merangkul perak manakala seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi melengkapkan kedudukan podium menerusi pingat gangsa dalam saingan berlangsung di Velodrom Indira Gandhi.Sementara itu, Muhammad Ridwan Sahrom sekadar menamatkan aksi final acara 1 kilometer (km) ujian masa di tempat keempat keseluruhan dengan catatan 1:02.452s.
Pingat emas dimenangi pelumba China, Li Zhiwei menerusi catatan masa 1:00.875s diikuti Minato Nakaishi dengan 1:02.101s memenangi perak manakala gangsa milik pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi yang mencatatkan 1:02.406s. - Bernama