PELETAKAN jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan pada Khamis lalu nampaknya menimbulkan pelbagai spekulasi berterusan.
Dengan kekosongan yang masih belum diisi, beberapa nama disebut-sebut bakal ditempatkan di kerusi ‘panas’ itu. Lebih hangat lagi apabila surat yang ditulis Perdana Menteri kepada Maszlee disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Banyak spekulasi yang disebarkan dalam pelbagai platform media sosial mengundang komen-komen liar netizen sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad tampil memberi penjelasan.
Dalam kenyataannya beliau mengakui Maszlee banyak melakukan perkara yang baik ketika menjadi menteri. Cuma ada beberapa sebab yang beliau fikirkan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mesti meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Kekosongan itu sepatutnya tidak mengambil masa lama untuk diisi bagi mengelakkan banyak keputusan penting babitkan sekolah tergantung.
Perkara paling penting yang perlu diselesaikan ialah status pembekal dan penyedia internet ke sekolah. Dalam keterujaan golongan pendidik untuk memberi yang terbaik kepada pelajar, akses internet yang berkualiti amat diperlukan.
Kaedah pengajaran masa kini memerlukan guru menggunakan teknik Digital Classroom, Flipped Classroom dan Google Classroom bagi menarik tahap tumpu pelajar di dalam kelas.
Generasi zaman digital sukar untuk fokus dengan cara pengajaran tradisional dan itulah yang dihadapi golongan pendidik sehingga mereka menggunakan pelbagai cara kreatif untuk menyediakan bahan bantu mengajar yang lebih menarik.
Walaupun tidak semua sekolah dapat menggunakan kemudahan itu tetapi guru tetap berusaha malah ada yang sanggup ke pekan hanya untuk akses internet bagi mendapatkan maklumat.
Lebih mendesak ialah kekurangan penempatan guru opsyen untuk mengajar subjek pilihan bagi pelajar Tingkatan Empat tahun ini yang mula mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Kekurangan guru bahasa Inggeris, subjek TVET selain empat pakej pilihan mata pelajaran yang ditetapkan adalah sangat kritikal sehinggakan pelajar terpaksa mengambil mata pelajaran yang ditentukan pihak sekolah.
Kita sebenarnya mempunyai perancangan mantap, tetapi mungkin tiada persediaan yang cukup.