Petinju cilik pamer karakter terpuji

Iklan
Farish Hakimi (tiga dari kiri) bersama barisan kejurulatihan Akademi Kuda Merah.

SEORANG petinju cilik mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila membantu lawannya yang rebah selepas KO dalam pertarungan ‘King of The Ring’ Kejohanan JWP-DBKL Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024 pada Ahad.

Farish Hakimi Norfazlie dari Akademi Kuda Merah menumbangkan petinju Muaythai Port Dickson, Muhammad Izzat Fitri pada pertembungan pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Petinju berusia 10 tahun itu menunjukkan tanda hormat apabila tidak menunggu lama untuk membantu lawannya yang masih lagi terbaring selepas diasak dan mengenai bahagian leher.

"Berasa puas sangat jika menang dengan TKO, namun saya perasan lawan masih lagi terbaring dan terus membantu dengan memberi kata-kata semangat, simpati dan menenangkan lawan yang dalam kesakitan," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Iklan

Muhammad Izzat kemudian diberi rawatan sebelum kembali pulih dan dilihat bermain bersama Farish Hakimi selepas upacara penyampaian hadiah seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Menerusi kemenangan itu Farish Hakimi yang terkenal dengan julukan Hero Malaya meraih trofi tajaan Kementerian Belia dan Sukan serta wang tunai.

Iklan

Pelajar Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri, Cheras itu menyifatkan kemenangan itu bukan diraih dengan mudah, berdepan cabaran sengit lawan terutama pada pusingan pertama.

Farish Hakimi (kiri) membantu lawannya yang rebah akibat TKO dalam pertarungan ‘King of The Ring’ Kejohanan JWP-DBKL Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024 pada Ahad.

"Saya membaca gerak lawan terlebih dahulu. Pada pusingan kedua dapat mengesan kelemahan lawan dan saya banyak menggunakan lutut mengikut percaturan jurulatih.

"Apabila dapat mengesan kelemahan itu, saya mula mengasak dan akhirnya berjaya KO. Saya juga mahu tamatkan pertarungan secepat mungkin," katanya.

Kemenangan ketiga di pentas profesional itu mendorong Farish Hakimi untuk terus maju ke depan dalam arena muay thai termasuk menyertai kejohanan di Thailand bagi menimba pengalaman baharu.

Malah beliau dengan bimbingan barisan jurulatih serta ibu bapa akan membahagikan masa antara belajar dan menjalani latihan.

"Pagi bersekolah. Petang atau malam buat latihan selama tiga jam, tiga atau empat kali seminggu. Jadual yang tersusun itu membolehkan badan dapat rehat yg cukup bagi memberi tumpuan kepada proses pembelajaran..

"Saya juga membahagikan masa dengan latihan bola sepak apabila mewakili Akademi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bawah 12 tahun," katanya.

Farish Hakimi turut menyimpan impian untuk mengharumkan nama negara pada suatu hari nanti sambil menghargai kelab Kuda Merah yang banyak membimbingnya dalam sukan tempur tersebut.

"Saya cuba berusaha untuk membuktikan kepada ibu bapa dan guru yang banyak memberi ruang serta peluang kepada saya untuk menceburi muay thai

"Terima kasih kepada Sarjan Mejar Rosli Yaakob, ketua jurulatih Kuda Merah dan Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, Komandan Pulapol (Pusat Latihan Polis) Kuala Lumpur yang membenarkan saya berlatih di sana," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28