Isteri gagal tuntut hak, sukar daftar sekolah anak

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Abdul Rahman

SHAH ALAM - Kesukaran mendapatkan bantuan kerajaan, isteri gagal menuntut hak di mahkamah dan sulit mendaftarkan anak di sekolah merupakan antara implikasi yang bakal dihadapi sekiranya pasangan yang berkahwin di sempadan tidak mendaftar semula perkahwinannya di Malaysia.

Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, perkahwinan di sempadan sememangnya sah mengikut syarak jika mencukupi syarat, tetapi akan berlaku percanggahan dari segi undang-undang sehingga mendatangkan kesulitan akibat tiada sijil perakuan nikah berdaftar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jabatan agama di setiap negeri atau pejabat kadi sendiri yang akan memastikan sama ada perkahwinan itu sah atau sebaliknya.

"Di sisi syarak memang sah, tetapi dari segi undang-undang akan bercanggah lebih-lebih lagi kalau perkahwinan tersebut tidak mendapat keizinan keluarga, perkara yang tak mengikut ‘ulul amri’ ini dilarang.

Iklan

"Perkahwinan tanpa izin merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum serta disabitkan ke mahkamah, jadi ini akan menyusahkan mereka.

"Kalau ada anak, tak boleh letak ‘bin’ atau ‘binti’ nama ayah, tak boleh daftar persekolahan, nak minta bantuan kerajaan pun tak dapat kerana macam mana kerajaan nak pastikan itu anak mereka, jadi kena fikirlah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan
Sukar dapat bantuan kerajaan, isteri gagal tuntut hak antara implikasi pasangan berkahwin tak daftar semula perkahwinan - Gambar hiasan.

Beliau yang baru sahaja menamatkan perkhidmatan pada 15 Februari lalu mengulas laporan Sinar Harian berkaitan Konsulat Malaysia di Yala mendedahkan hampir 300 pasangan negara ini menikah di Selatan Thailand setiap bulan.

Daripada jumlah tersebut, 60 peratus perkahwinan itu melibatkan alasan poligami dan selebihnya tidak mendapat keizinan keluarga termasuk bernikah dengan pasangan di negara ini.

Ditanya mengenai tempoh yang diperuntukkan buat pasangan berkahwin untuk mendaftar semula perkahwinan, Abdul Rahman memaklumkan, kebiasaannya tidak lebih daripada enam bulan dan golongan berkenaan digalakkan berbuat demikian secepat mungkin.

"Kalau ikut sahaja tempoh terbabit memang lebih mudah untuk mereka mendaftar semula.

"Namun bagi kes berkahwin tanpa izin tiada tempoh kerana ia jelas satu kesalahan sebab pengesahan dari jabatan agama negeri perlu dibuat terlebih dahulu,” ujar beliau lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28