Ukraine terus tagih bantuan Barat

Iklan
Peserta protes di London berarak menggesa Rusia menghentikan kempen ketenteraan di Ukraine.

KIEV - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sekali lagi menagih bantuan Barat untuk menentang kempen pencerobohan dilancarkan Rusia yang sudah berlarutan selama dua tahun.

Zelenskyy menyatakan sekurang-kurangnya 31,000 anggota tentera mereka terkorban sepanjang tempoh dua tahun itu dan pelan serangan balas yang direncanakan pada tahun lalu kononnya gagal kerana telah diketahui terlebih dahulu oleh pihak musuh.

Iklan
Iklan

Situasi yang semakin meruncing menyebabkan pemimpin itu terpaksa menebalkan muka untuk merayu sokongan Barat.

"Tentera Ukraine sememangnya bergantung penuh kepada Barat. Anda penentu kekalahan atau kehilangan nyawa anggota kami,” ujarnya.

Iklan

Kedudukan Kiev dikatakan semakin lemah sejak beberapa minggu kebelakangan ini kerana kekurangan bekalan peluru selain pakej bantuan berjumlah AS$60 bilion (RM286 bilion) yang sepatutnya disalurkan Amerika Syarikat (AS) masih disekat kerana perbalahan politik di Kongres."Saya yakin Kongres AS dapat menyelesaikan isu tersebut secara positif,” katanya.

Zelenskyy semakin buntu selepas pelan serangan balas yang dirancangnya tahun lalu gagal.

Difahamkan, bantuan Barat ke Kiev semakin perlahan dan Moscow terus mengambil peluang tersebut untuk mara ke wilayah Ukraine.

Iklan

Zelenskyy turut menafikan jumlah korban seperti didakwa Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu pada Disember lalu yang mendedahkan kira-kira 383,000 askar Ukraine terbunuh atau cedera.

"Angka kematian sebenar anggota kami bukan 300,000 atau 150,000 orang seperti dikatakan pihak musuh dan lingkaran Presiden Rusia, Vladimir Putin,” jelasnya lagi.

Zelenskyy menolak untuk bercakap tentang hal itu memandangkan fokus utama mereka adalah untuk mendapatkan bantuan Barat.

Menteri Pertahanan Ukraine, Rustem Umerov dalam satu kenyataan memberitahu separuh daripada bantuan yang dijanjikan Barat tiba lewat di Kiev, sekali gus menjejaskan operasi ketenteraan mereka.

Bagaimanapun, Eropah mengakui ia gagal menghantar lebih sejuta peluru artileri kepada Ukraine seperti dijanjikan pada bulan depan dan berharap ia dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

"Kelewatan seumpama itu akan mengakibatkan kekalahan kepada Kiev dan memberi peluang besar kepada pihak musuh untuk melancarkan serangan udara secara terus-menerus,” jelas Umerov.

BENTENG PERTAHANAN MAKIN LEMAH

Bantuan Barat yang semakin perlahan menyebabkan Ukraine terpaksa berundur dari bandar barisan hadapan Avdiivka pada awal bulan lalu.

Zelenskyy yang semakin terdesak menggesa pemimpin negara Kumpulan 7 (G7) supaya menunaikan janji mereka.

"Putin akan kalah dalam peperangan ini,” katanya dengan yakin walaupun benteng pertahanan Kiev semakin goyah.

Sejak akhir-akhir ini, Moscow dilaporkan semakin menunjukkan taring dan terus mara di medan perang.

Rusia terus memperhebatkan serangan misil ke atas wilayah timur Donetsk.

"Meskipun situasi semakin tegang, askar kami tetap kekal di kedudukan masing-masing,” kata Ketua Komander Ukraine, Oleksandr Syrsky.

Sejak 'operasi khas' Rusia bermula pada 24 Februari 2022, lebih 8,000 misil dikatakan telah dilancarkan ke Kiev dengan purata lebih daripada 10 peluru berpandu dalam tempoh sehari.

Susulan peperangan yang masih belum reda, Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock ketika berkunjung ke bandar Mykolaiv mengumumkan bantuan kemanusiaan tambahan berjumlah 100 juta euro (RM517 juta) kepada Ukraine.

"Ia bukanlah bantuan sia-sia kerana dapat menyelamatkan nyawa,” tambahnya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin Eropah di Istana Elysees di ibu kota yang akan turut dihadiri Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Presiden Poland, Andrzej Duda dikatakan akan cuba mengukuhkan semula sokongan Barat kepada Ukraine pada acara tersebut. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28