Bumbung rumah rosak 'dikerjakan' monyet

Iklan
Penduduk menunjukkan bumbung rumah yang sering menjadi sasaran haiwan liar itu.

MELAKA - Lebih 1,000 penduduk Taman Melaka Perdana, Ayer keroh di sini bimbang dengan gangguan monyet liar yang semakin tidak terkawal hingga merosakkan harta benda mereka.

Lebih merisaukan apabila bintang liar itu bertindak agresif merosakkan bumbung dan berani menggeledah barangan dalam rumah penduduk.

Iklan
Iklan

Penduduk, Mohd Akhtar Ab Karim, 46, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Mohd Akhtar

Dakwanya, isu itu telah dipanjangkan kepada pihak berkenaan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun sehingga kini belum ada jalan penyelesaian.

Iklan

Menurutnya, monyet liar itu seolah-olah sudah ‘berkuasa’ di kawasan perumahan terutama pada waktu awal pagi dan petang dengan menyasarkan rumah penduduk untuk mencari makanan.

Sekumpulan monyet berada di kawasan perumahan Taman Melaka Perdana Ayer Keroh.

"Bila nampak sahaja makanan dalam rumah, haiwan ini akan berusaha untuk masuk melalui bumbung kerana penduduk sudah memasang jeriji besi di tingkap dan ruang celahan bumbung.

Iklan

"Tindakan itu menyebabkan bumbung rumah penduduk rosak. Kita sedang menunggu jabatan berkenaan memasang perangkap monyet tapi sehingga ke hari ini hanya tinggal janji," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Syed Mustafa

Warga emas, Syed Mustafa Jaafar, 69, berkata, serangan haiwan liar itu turut menimbulkan masalah kebersihan apabila kumpulan monyet itu sering menyelongkar tong sampah penduduk untuk mencari makanan.

Menurutnya, apa yang dikesalkan masalah yang menghantui kira-kira 200 rumah penduduk itu sudah berkali-kali diadukan kepada pihak berwajib, namun masih menemui jalan buntu.

"Disebabkan masalah ini kami terpaksa letakkan batu atau terpaksa ikat penutup tong sampah.

"Malangnya tong pula akan diterbalikkan monyet yang marah apabila tidak dapat makanan," katanya.

Agata

Bagi suri rumah, Agata Tang, 65, dia pernah cuba diserang ketua kumpulan monyet liar itu ketika menghalau haiwan berkenaan yang cuba memasuki rumahnya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk berasa tidak selamat, selain tanaman turut dirosakkan oleh monyet sehingga tidak sempat menikmati hasilnya.

Penduduk terpaksa ikat penutup tong sampah bagi mengelak diselongkar monyet.

"Monyet dah tak takut orang, lagi bertindak agresif dengan menyergah ke arah saya dan cuba menerkam cucu yang masih kecil.

"Sejak itu cucu tak boleh main di taman permainan malah semua tingkap akan ditutup sepanjang masa menyebabkan kami tidak dapat menghirup udara bersih di kawasan hijau ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28