Kurangkan kerenah birokrasi, peraturan menyusahkan - Sultan Selangor

Iklan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Selasa.Foto Bernama

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihati penjawat awam di Selangor agar melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab diamanahkan.

Baginda menggesa supaya kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan-urusan kerajaan dikurangkan segera.

Iklan
Iklan

Sultan Sharafuddin bertitah, penjawat awam perlu ada 'sense of urgency' dan bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan berkaitan rakyat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.

"Beta tidak mahu sikap lalai dan malas terus diamalkan penjawat awam sehingga menyebabkan banyak projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.

Iklan

"Sebagai contoh, projek tebatan banjir dan juga projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera.

"Beta amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih ada dalam pemikiran penjawat awam, rakyat beta yang akan terus menanggung akibatnya," titah baginda pada upacara perasmian pembukaan mesyuarat penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan DUN di sini pada Selasa.

Iklan

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan hadir di majlis itu.

Sultan Sharafuddin sekali lagi turut bertitah mengingatkan pihak berkuasa tempatan agar dapat melaksanakan syor baginda supaya keanggotaan ahli-ahli majlis terdiri daripada sekurang-kurangnya 50 peratus golongan professional dan tidak dimonopoli oleh ahli politik.

"Dengan adanya langkah ini, diharap segala masalah dan aduan dapat ditangani dengan lebih baik menerusi inisiatif turun padang untuk melihat sendiri masalah dihadapi oleh rakyat.

"Beta mahu pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain memastikan baik pulih (maintenance) harta awam diselenggara dengan baik," titah baginda.

Titah Sultan Selangor, ini termasuklah pembaikan jalan raya yang rosak, parit dan longkang tersumbat, lif di bangunan awam dan perumahan serta kemudahan untuk bersukan dan rekreasi.

"Beta akan terus memantau dan memerhati tindak-tanduk penjawat awam dan kualiti perkhidmatan awam di negeri Selangor ini selaras dengan moto 'Pertahan dan Setia Kepada Agama lslam' serta 'Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara'," titah baginda.


Sultan Selangor harap RS-1 dilaksanakan ikut garis masa ditetapkan

Dalam pada itu Sultan Sharafuddin turut berharap segala perancangan digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada tahun ini dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan.

"Ini terutamanya program kebajikan dan kesejahteraan rakyat, projek-projek berimpak tinggi khususnya pembangunan wilayah ekonomi baharu, inisiatif hasil ekonomi baharu serta mewujudkan suasana mesra pelabur bagi menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Selangor," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) seluruh negeri dalam membangunkan Sistem e-Tanah Negeri Selangor dilancarkan pada Oktober lalu.

Titah baginda, penambahbaikan sistem tadbir urus tanah yang telus akan dapat memberikan impak positif signifikan kepada semua pihak berkepentingan terlibat.

Baginda turut bertitah, aspek digitalisasi akan membantu dalam proses semakan, perancangan dan juga pemantauan di mana ia boleh dibuat secara lebih pantas, berkala serta teratur.

"PTGS akan membuat pentakrifan semula bagi jenis-jenis bahan batuan dan mineral memandangkan nilai bagi kedua-dua bahan tersebut menunjukkan peningkatan yang drastik di pasaran.

"Pentakrifan ini akan melibatkan kadar royalti lebih tinggi selaras dengan kadar ditetapkan melalui Enakmen Mineral Negeri Selangor dan juga pekeliling-pekeliling yang masih berkuatkuasa," titah baginda.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28