SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas 51 pertuduhan gagal untuk mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM473,730 kepada 17 orang mangsa.
Syarikat berkenaan Emraz Travel & Tours Sdn Bhd diwakili dua pengarah berkenaan yang merupakan pasangan suami isteri iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan Datin Mazuin Mustafa, 43.
Pasangan itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Noor Hafiza Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat dengan Zulkarnain dan Mazuin selaku orang kena saman (OKS) masing-masing berdepan 17 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM berkenaan.
Pendakwaan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Shafiq Mahadi dan Suhana Mohd memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin.
"Kes ini membabitkan 17 mangsa yang mana bakal jemaah umrah ini terpaksa menabung untuk menunaikan ibadah umrah.
"OKS turut berdepan kes yang sama di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," kata Suhana.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Hanif Hassan, memohon jaminan dikurangkan RM100 hingga RM150 bagi setiap satu pertuduhan memandangkan jumlah ditawarkan bagi setiap tertuduh adalah sangat tinggi.
"Untuk makluman, anak guam saya tidak menjalankan operasi perniagaan dan lesen perniagaan juga ditamatkan. Mereka tidak mempunyai hasil pendapatan. Mereka juga sedang berusaha untuk membayar saman tersebut," katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM500 bagi setiap pertuduhan iaitu masing-masing diikat jamin RM8,500 dengan seorang penjamin.
Majistret kemudian menetapkan 25 April bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28