KUALA LUMPUR - KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) telah menandatangani kerjasama strategik dengan Mayo Clinic sekali gus menjadi peneraju penetapan piawaian baharu industri penjagaan kesihatan di negara ini.
Sebagai peneraju penjagaan kesihatan swasta Malaysia, usaha KPJ Healthcare itu turut memberikan manfaat besar kepada peningkatan kepakaran serta inovasi penjagaan pesakit selain merupakan rangkaian hospital pertama Malaysia yang disenaraikan sebagai ahli Mayo Clinic Care Network.
Menurut Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, kerjasama tersebut sekali gus memperlihatkan komitmen KPJ Healthcare dalam memanfaatkan kepakaran global untuk perkembangan dan kualiti sektor penjagaan kesihatan tempatan.
"Pencapaian (kerjasama) ini juga merupakan anjakan besar kepada kecemerlangan sektor perkhidmatan perubatan kerana kami (KPJ Healthcare) sentiasa berusaha meneroka pendekatan inovatif demi memberikan perkhidmatan terbaik," katanya pada majlis pelancaran kerjasama KPJ Healthcare dan Mayo Clinic di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2)di sini pada Jumaat.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan disaksikan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pengarah Perubatan Eksekutif (Bahagian Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik) Mayo Clinic, Dr Stacey Rizza dan Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md Arif Mahmood.
Akses penuh
Menerusi kerjasama strategik itu, ia membolehkan KPJ Healthcare menerusi Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ DSH) dan DSH2 memperoleh akses penuh sumber klinikal dan perkhidmatan Mayo Clinic yang berteknologi tinggi.
Akses perkhidmatan tersebut meliputi AskMayoExpert, eBoards dan Health Care Consulting yang mana ia memberi impak besar kepada peningkatan kualiti penjagaan kesihatan yang ditawarkan di KPJ DSH dan DSH2.
AskMayoExpert
- Sistem komprehensif maklumat klinikal tentang pelbagai kondisi perubatan meliputi protokol, cadangan rawatan dan rujukan perubatan.
- Pangkalan data boleh diakses pada setiap masa untuk semua jenis perkhidmatan penjagaan kesihatan.
eBoards
- Persidangan video interaktif secara langsung membolehkan pasukan perubatan di KPJ DSH dan DSH2 untuk membuat semakan dan perbincangan kes-kes kompleks dengan pakar perubatan dari Mayo Clinic.
Health Care Consulting
KPJ DSH dan DSH2 mempunyai akses kepada pengalaman, pengetahuan dan kepakaran Mayo Clinic untuk mencapai objektif klinikal, operasi dan matlamat perniagaan.
Selain itu, para pengamal perubatan profesional di KPJ DSH dan DSH2 turut berpeluang mendapatkan bahan rujukan berkaitan pesakit di Mayo Clinic selain terlibat dalam pembangunan profesional, pendidikan perubatan berterusan sekali gus meningkatkan kualiti penjagaan serta perkhidmatan.
Sebagai ahli bebas dalam Mayo Clinic Care Network yang mempunyai lebih daripada 45 ahli yang terdiri organisasi perkhidmatan kesihatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Asia, India Mexico dan Asia Barat, KPJ Healthcare bukan sahaja bergerak selangkah ke hadapan untuk organisasinya semata-mata, tetapi untuk keseluruhan masyarakat Malaysia yang akan mendapat manfaat daripadanya.
Impak signifikan
Dalam pada itu, Dr Stacey menyifatkan pemeteraian kerjasama itu akan memberi impak yang signifikan terhadap dunia perubatan di samping memacu transformasi kedua-dua pihak.
Malah, pihaknya turut meraikan keahlian baharu KPJ Healthcare menerusi KPJ DSH dan DSH2 dalam Mayo Clinic Care Network yang menjadi permulaan kepada perkongsian komitmen menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti kepada para pesakit.
"Organisasi kami turut berkongsi komitmen yang sama dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang memberi tumpuan khusus kepada setiap pesakit.
"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan KPJ Healthcare dalam memperkasakan perkhidmatan penjagaan kesihatan,” jelas Dr Stacey.
Sokongan
Sementara itu, bagi Dr Dzulkefly, kerajaan sentiasa menyokong serta menggalakkan organisasi penjagaan kesihatan swasta di negara ini bersama-sama berusaha menjadi pemangkin inovasi bidang perubatan di samping merintis paradigma baharu.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama strategik di antara KPJ Healthcare dengan Mayo Clinic, beliau menegaskan kolaborasi itu mampu melonjakkan prestasi serta perspektif baharu perubatan di Malaysia.
"Ini membolehkan KPJ Healthcare merintis paradigma baharu dalam penjagaan pesakit, penyelidikan perubatan, dan penyampaian penjagaan kesihatan.
"Selain mempertingkatkan keadaan perubatan sedia ada ia juga akan membawa kepada penyelesaian baru dalam mendepani perkembangan keperluan penjagaan kesihatan negara kita," ujarnya.