'Undang-undang siber ibarat basikal buruk' - Azalina

Iklan
Kerajaan melalui agensi berkaitan sedang meneliti beberapa peruntukan undang-undang lain. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Azalina)

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani sedang merangka satu akta baharu merangkumi peruntukan berhubung dengan tatacara dan penguatkuasaan ‘kill switch’ untuk meningkatkan keselamatan digital bagi mengatasi penipuan dalam talian yang semakin meningkat ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses itu penting untuk meningkatkan keselamatan siber secara terperinci dan jelas selaras dengan keperluan semasa khususnya perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Iklan
Iklan

"Kalau berbanding antara kereta (undang-undang siber) ini seperti orang kata macam betul-betul basikal buruk. Jadi, inilah sebabnya undang-undang perlu dipinda bukan sahaja melibatkan substantif tetapi juga dari segi prosedur,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta kerajaan menyatakan usaha dilakukan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Azalina berkata, proses untuk merangka undang-undang baharu itu diambil susulan hasil mesyuarat dan sesi libat urus beliau bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta agensi berkaitan pada 5 Februari lalu.

Ujarnya, menerusi mesyuarat dan libat urus yang diadakan itu didapati perundangan sedia ada tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang pesat dan menyebabkan penipuan dalam alam maya semakin berleluasa sehingga platform yang ada tidak lagi selamat.

Iklan

Selain itu, Azalina pada masa sama turut memaklumkan penelitian juga sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui agensi yang berkenaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang lain.

"Ia termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bagi membolehkan pengembalian wang penipuan kepada mangsa-mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, usaha ke arah untuk menangani isu yang menjadi kebimbangan ramai berkenaan telah dimulakan bagi memastikan individu tidak bertanggungjawab tidak lagi mempunyai sebarang ruang dan peluang untuk memperdaya rakyat melalui penipuan dalam talian.