JOHOR BAHRU – Siasatan kes 10 anggota polis yang didakwa melakukan pemerasan terhadap orang awam awal bulan lalu kini memasuki fasa akhir.
Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, kes tersebut masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan serta nasihat selanjutnya dalam masa terdekat.
"Sebagai makluman semua, kes ini masih dalam siasatan sementara menunggu laporan forensik termasuk penyata daripada Bank Negara Malaysia.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dapatkan arahan dan nasihat selanjutnya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penangkapan 10 anggota polis melibatkan seorang pegawai kanan berpangkat Inspektor dan sembilan pegawai rendah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000, awal bulan lalu.
Kes pemerasan itu terbongkar apabila seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.
Tambah Kumar, ulasan dan cadangan daripada hasil siasatan akan dikemukakan di Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Bukit Aman terlebih dahulu sebelum diangkat ke Jabatan Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan setelah laporan-laporan diperolehi.
Dalam perkembangan berasingan, Kumar berkata, statistik kemalangan jalan raya bagi Kontinjen Johor menunjukkan penurunan dalam Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina mulai 8 hingga 13 Februari lalu.
Katanya, statistik penurunan yang signifikan itu menunjukkan peraturan jalan raya dikuatkuasakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kontinjen Johor berjaya memberi impak selain peningkatan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya.
"Secara keseluruhannya kes kemalangan jalan raya mencatatkan 29.13 peratus berbanding 1187 kes pada 2023 manakala kes kemalangan maut mencatatkan penurunan 25 peratus dengan catatan 12 kes berbanding 16 kes pada tahun 2023.
"Selain itu sebanyak 13 kes melibatkan kematian dicatatkan iaitu penurunan sebanyak 40.91 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.