'Arwah ada sejarah lampau, tapi tiada hak dipukul hingga mati'

Iklan
Shah Rizad kelihatan sebak ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada Selasa, selepas prosiding pertuduhan terhadap lima penghantar makanan atas dakwaan membunuh adiknya, minggu lalu.

BANGI -"Ya, arwah (Shahril) memang ada sejarah lampau (kes jenayah), tetapi mereka tiada hak buat adik saya begitu," kata abang sulung kepada pemandu kereta yang diikat dan dipukul hingga maut, selepas kemalangan, minggu lalu.

Shah Rizad Samad, 43, berkata, lima penghantar makanan yang didakwa membunuh adik keduanya, Shahril, 41, tidak sepatutnya mengambil langkah mudah dengan menggunakan keganasan, sebaliknya menyerahkan kes terbabit kepada pihak polis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek tiada hak memukul mangsa hingga maut walaupun adiknya mempunyai kisah silam.

Katanya, ini kerana adik kedua daripada tujuh beradik itu tidak pernah bermusuh dengan mana-mana pihak, apatah lagi ahli keluarganya sendiri.

Iklan

"Sudahlah diikat (mangsa), kenapa nak belasah lagi dan bagaimana dia nak lindungi dirinya?

"Saya dah ahli keluarga puas hati dapat tengok muka semua tertuduh di mahkamah ketika mereka dituduh, sebab memang kami sudah lama nak lihat wajah mereka,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun Shah Rizad berkata, ibu bapanya tidak sanggup untuk hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding pendakwaan terbabit.

Dia yang juga seorang penjawat awam berkata, ahli keluarganya berharap semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu dikenakan hukuman setimpal.

"Kami tak harap banyak, cuma apa yang terjadi dapat selesaikan (prosiding mahkamah) dengan segera.

"Saya dan keluarga juga tiada kuasa untuk menentukannya (hukuman), kita hanya mahukan keadilan,” katanya sebak ketika ditemui di luar mahkamah selepas lima lelaki itu dituduh membunuh adiknya.

Lima penghantar makanan yang tular dalam kejadian pukul dan ikat seorang pemandu kereta didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas satu pertuduhan membunuh minggu lalu.

Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43 dan Syamsul Qamar Ayob, 40 didakwa membunuh seorang pekerja sendiri, Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3 Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pada jam 9.54 malam, 20 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sebanyak 12 kali.