Bekas pengurus Felda tak mengaku guna cek RM54,742

Iklan
Shahril (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas 13 pertuduhan menyalahgunakan cek berjumlah RM54,742 empat tahun lalu.

KUANTAN - Bekas pengurus Felda Lepar Utara satu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan menyalahgunakan cek berjumlah RM54,742 empat tahun lalu.

Tertuduh, Shahril Shahadan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dalam prosiding pada Selasa.

Iklan
Iklan

Bapa kepada empat anak itu didakwa atas 13 pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu 13 cek berjumlah antara RM1,400 hingga RM5,000 yang jumlah keseluruhan sebanyak RM54,742.

Shahril didakwa melakukan terbabit di sebuah bank cawangan bandar pusat Jengka, dari 23 Januari hingga 29 September 2020.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Rifah Izzati turut memohon syarat tambahan daripada mahkamah supaya tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM selain, menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Iklan

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Siti Azizah Mulian dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih bekerja di Felda Wilayah dan menanggung empat anak yang masih bersekolah, ibu bapa serta ibu bapa mertua.

Mahkamah seterusnya menetapkan RM20,000 wang jaminan dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Kes disebut semula 5 April depan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28