ALOR GAJAH - Seorang peniaga kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas dua tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya.
Tertuduh berusia 45 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan sumbang mahram ke atas anak kandungnya berusia 16 tahun yang mana perhubungan antara mereka adalah tidak dibenarkan oleh undang-undang untuk berkahwin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah rumah kampung di Masjid Tanah, di sini, pada jam 10.30 pagi dan 9.20 pagi, 18 dan 19 Februari lalu.
Pegawai Pendakwa Inspektor Noor Hidayu Abd Latif mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sementara itu tertuduh merayu jaminan rendah kerana tidak berkemampuan dengan wang jaminan tinggi selain perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula bagi lantikan peguam pada 27 Mac depan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28