Bekas penjawat awam mengaku terima rasuah

Iklan
Abdul Rahman (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa, atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM500 bagi urusan rasmi berkaitan tugasnya, tiga tahun lalu.

SEREMBAN - Seorang bekas pembantu tadbir didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM500 bagi urusan rasmi berkaitan tugasnya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Rahman Kassim, 61, yang kini sudah bersara mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu pembantu tadbir yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu didakwa bersetuju menerima untuk dirinya suatu barang berharga tanpa suatu balasan iaitu wang tunai berjumlah RM500 daripada seorang lelaki yang ada kena-mengena dengan urusan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah gerai Majlis Daerah Jelebu, Kampung Peradong, Jelebu, pada 17 Disember 2021.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Ia membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi sebutan fakta dan hukuman serta menawarkan jaminan sebanyak RM7,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 15 Mac depan bagi sebutan serta memerintahkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28