MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang majikan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan memegang paha pekerjanya.
Mohamad Redwan Sabri, 31, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun 1 bulan sewaktu kejadian dengan cara memegang paha kanan mangsa.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan dalam sebuah kereta jenis Isuzu Trooper di Jalan Solok Fajar, Bukit Nibong, Paya Dalam di sini, kira-kira jam 12.30 malam pada 14 Februari lalu.
Kesalahan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa yang juga pekerjanya sehingga kes selesai.
Tertuduh yang diwakili Peguam, Sharveen Letchumanan memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sendiri sebagai jurukimpal dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
Selain itu tertuduh juga menyara lima anak yang masih kecil serta menjaga bapanya yang sakit.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis.
Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kepada pada 1 April depan.