SHAH ALAM - Usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) diharap tidak hanya terhenti setakat perhimpunan untuk tuntutan sebaliknya diteruskan dengan persediaan membantu kerajaan dalam mencapai pelaksanaan agenda reformasi bersama-sama bagai aur dengan tebing.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Nabil Halimi berkata, sebagai sayap parti pemuda Kerajaan Madani, pihaknya terbuka dan mengalu-alukan perbincangan konstruktif dengan semua pihak agar agenda reformasi dapat diangkat dan dijayakan dengan sebaiknya.
"Sesungguhnya kami percaya bahawa Bersih perlu mendukung usaha kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik yang sebenarnya penting dalam usaha mencapai matlamat-matlamat di atas.
"Kestabilan politik ini juga adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang harus dititikberatkan sebagai keperluan mustahak untuk melihat reformasi yang berkesan.
Pada Selasa, perhimpunan yang diketuai Bersih itu berarak dari Plaza Tugu Negara ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan reformasi kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan.
Selain Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari, turut kelihatan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Dr Ahmad Taufik Johari (Sungai Petani); William Leong (Selayang); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) hadir menerima memorandum berkenaan.
Dalam pada itu, ujar Nabil, AMK mengiktiraf semangat demokrasi buat mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyatakan dukungan ke atas agenda reformasi, selaras dengan idealisme dan perjuangan parti.
"Kami yakin semua pihak sentiasa menghormati dan melindungi hak perlembagaan rakyat untuk berekspresi termasuk berhimpun secara aman dan bebas.
"AMK percaya usaha melaksanakan reformasi adalah tidak mudah, dan memerlukan semangat serta iltizam politik yang tinggi daripada seluruh barisan kepimpinan Kerajaan.
"Namun begitu, reformasi institusi ini harus dilaksanakan secara berperingkat serta penuh hikmah, agar perubahan dapat direalisasikan dengan jaya dan berkesan - bukanlah bersifat populis semata-mata,” menurutnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28