MATTA dan MAG jalin hubungan strategik, tawar diskaun 30 peratus

Iklan
Nigel (tiga dari kanan) dan Dersenish (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat MATTA pada Selasa. Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjalinkan hubungan strategik bersama Malaysia Aviation Group (MAG) dengan pelbagai tawaran ke destinasi pelancongan menarik seluruh dunia.

Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan dari MAG, Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama itu sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan dan pengalaman terbaik untuk pelanggan.

Dersenish

Iklan
Iklan

"Kami menjemput orang ramai merebut peluang ini dengan merancang perjalanan mereka, sambil menikmati tawaran eksklusif yang disediakan sepanjang berlangsungnya pameran MATTA (MATTA Fair) pada 22 hingga 24 Mac depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

"Antaranya, MAG menawarkan diskaun sehingga 30 peratus untuk tambang penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa dalam rangkaian.

Iklan

"Bukan itu sahaja, Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings juga akan menawarkan diskaun sehingga 25 peratus untuk produk sampingan termasuk pemilihan tempat duduk, bagasi tambahan dan banyak lagi,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat MATTA pada Selasa.

Ujar Dersenish, bagi pengguna EnrichMoney, mereka akan diberikan lima mata dan 50 peratus mata ganjaran bonus pada penerbangan Malaysia Airlines.

Iklan

Sementara itu, Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, perkongsian strategik itu merangkumi Malaysia Airlines, Firefly, AMAL dan MASwings, sebagai rakan kongsi syarikat penerbangan rasmi.

Nigel

"Kami sangat teruja kerana sekali lagi dapat bergabung tenaga dengan syarikat penerbangan MAG untuk MATTA Fair.

"Perkongsian dan sokongan mereka bukan sahaja menambah nilai penting kepada pameran ini tetapi menekankan komitmen kami untuk memenuhi permintaan yang semakin berkembang daripada pengguna MATTA Fair,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pada edisi MATTA Fair ke-54, pihaknya menawarkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke MITEC dengan kekerapan setiap 10 minit dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall.

Tambah beliau, memandangkan pameran diadakan pada bulan Ramadan, MATTA turut menyediakan ruangan solat yang dibina khas dan bazar mini Ramadan untuk pengunjung beragama Islam.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28