Penyedia platform media sosial buat penilaian sendiri turunkan kandungan

Iklan
Nie Ching ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat hari ini. - Foto: Bernama
KUALA LUMPUR - Penyedia platform media sosial akan membuat penilaian sendiri dan tidak menerima sebarang arahan daripada kerajaan untuk menurunkan mana-mana kandungan, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Mengikut prosedur, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengemukakan permintaan kepada penyedia platform seperti Facebook, Tiktok dan X apabila menerima laporan berhubung kandungan sensitif di media sosial.

Bagaimanapun, menurutnya penyedia platform media sosial mempunyai garis panduan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan menurunkan kandungan.

"Mereka (penyedia platform) akhirnya akan membuat keputusan sendiri sama ada mereka setuju dengan pandangan MCMC dan kerajaan.

"Sekiranya sesuatu kandungan diturunkan oleh platform tersebut, bermakna platform itu juga setuju dengan penilaian, judgement dan permintaan daripada kerajaan. Sebenarnya ada juga permintaan daripada kerajaan yang ditolak oleh mereka," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai dakwaan kerajaan menurunkan kandungan di media sosial kerana takut dengan kritikan daripada rakyat.

Nie Ching berkata, pada tahun lepas, 7,000 kandungan media sosial yang mempunyai ucapan kebencian berkaitan isu 3R (bangsa, agama dan raja) dan berita palsu telah diturunkan, berbanding 271 kandungan pada 2022 dan 170 pada 2021.

Selain itu beliau berkata, program Klik Dengan Bijak adalah antara usaha Kementerian Komunikasi untuk mendidik generasi cekap digital dan beretika dengan 569 program telah dianjurkan pada 2023 di seluruh negara.

Antara usaha advokasi lain untuk masyarakat menyemak fakta adalah menerusi portal SEBENARNYA.MY oleh MCMC dan MyCheck Malaysia oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam memerangi penyebaran maklumat palsu dan salah maklumat dalam media sosial yang semakin meningkat. - Bernama