TIDAK ambil pusing dengan apa sahaja gosip berkaitan isu peribadi, aktor Sharnaaz Ahmad menegaskan fokus utamanya kini adalah untuk mencari rezeki dan membesarkan anaknya, Jebat Jayden Ahmad, 6 tahun.
Malah bintang berusia 38 tahun itu juga berasakan perkahwinan bukan perkara yang perlu diberi keutamaan sementelah dia harus berusaha lebih untuk keluarga.
"Biarlah dulu pasal kahwin, lagipun saya pernah berkahwin. Kalau ada jodoh, ada rezeki selepas ini saya okey.
"Kalau tak ada pun okey sahaja. Saya pun dah ada anak. Fokus saya cari duit dan keluarga memandangkan Jebat pun nak masuk sekolah,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditebak mengenai hubungannya dengan pelakon, Amelia Christie yang didakwa sudah berakhir selepas kedua-duanya didakwa tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing, pemain Polis Evo 3 itu menidakkannya.
Tegas Sharnaaz, hubungannya dengan aktres itu dalam keadaan baik dan tidak mahu menjelaskan apa-apa berkaitan kehidupan peribadinya.
"Unfollow? Tak tahulah, pertama kali saya tak boleh jawab.
Terdahulu, Sharnaaz dan Amelia dikatakan sudah saling tidak mengikuti media sosial masing-masing sehingga mencetuskan spekulasi adakah hubungan mereka sudah berakhir.
Sharnaaz menjawab soalan itu ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkannya dan Beto Kusyairi sebagai duta terbaharu baju Melayu, Elrah.
Ditanya keputusannya menyertai jenama berbeza berbanding tahun lalu, anak kelahiran Pulau Pinang itu menegaskan kontraknya bersama Bulan Bintang sudah tamat sebaik Aidilfitri berakhir tahun lalu.
Justeru sepatutnya tidak timbul apa-apa isu apabila dia membuat keputusan menyertai jenama berbeza selagi khidmatnya diperlukan.
"Saya ini ibarat pemain bola dan mereka (pemilik jenama baju Melayu) adalah kelab. Jadi kalau ada tawaran yang menarik, tentulah saya akan berhijrah bila kontrak sudah berakhir.
"Sebenarnya tak ada isu apa pun sebab saya masih mengekalkan hubungan baik dengan pihak di sebelah sana. Tahun depan, tak tahu pula saya bersama siapa,” katanya yang mengutamakan kualiti dan keselesaan baju Melayu yang dipakai.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28