Harga beras: PPN Pulau Pinang sambut baik pengumuman PM

Iklan
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Ismail)

KEPALA BATAS - Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkaitan pelaksanaan mekanisme harga baharu Beras Putih yang bakal dimuktamadkan sebulan lagi.

Pengerusinya, Datuk Ismail Umar berkata, campur tangan kerajaan dilihat perlu bagi memastikan tiada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas beras tempatan yang sentiasa sukar diperoleh dalam pasaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beras import pula mengalami kenaikan harga yang sangat mendadak sehingga ada yang mencecah RM45 bagi 10 kilogram (kg) beras.

"Pertubuhan Peladang Pulau Pinang melihat intervensi Pejabat Perdana Menteri ini sebagai ‘wake up call’ kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui agensi-agensi di bawahnya yang gagal memberikan penyelesaian tuntas dalam isu beras putih tempatan.

Iklan

Dalam pada itu, bagi memastikan nasib pesawah marhaen tidak terjejas dengan pengumuman harga Beras Putih Madani satu gred, beliau mencadangkan supaya harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,700 untuk setiap tan.

Jelasnya, hal ini kerana pendapatan pesawah akan terjejas dengan teruk sekiranya kilang membeli padi pada harga lantai sekarang (RM1300/tan) apabila harga baharu diumumkan kelak.

Iklan

Ismail berkata, pihaknya juga memohon agar KPKM mengambil kira kepentingan pesawah sebagai keutamaan apabila melaksanakan apa-apa dasar baharu dalam Industri Padi dan Beras. Pesawah adalah merupakan ‘frontliners’ dalam keselamatan makanan negara, dengan itu, nasib mereka sama sekali tidak patut dikesampingkan.

"Kami sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri secara khusus apabila telah mengumumkan dua berita gembira kepada pesawah, iaitu kenaikan subsidi sebanyak RM140/tan menjadikannya RM500 untuk setiap tan padi yang dijual.

"Kedua, kenaikan harga lantai yang tidak pernah dinaikkan selama hampir 10 tahun... semoga ada berita baik yang seterusnya untuk warga pesawah Pulau Pinang khususnya, dan Malaysia amnya," katanya lagi.