KENINGAU - Remaja yang hilang ketika mandi di Sungai Pagalan, Kampung Paganatan di sini, ditemukan lemas pada malam Isnin.
Mayat Aloysius Alfred, 13, ditemukan pada jam 9.50 malam oleh penduduk kampung tidak jauh dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dilakukan oleh penduduk kampung di lokasi kejadian.
"Mangsa ditemui penduduk kampung kira-kira 520 meter dari lokasi dia dilaporkan hanyut.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Katanya lagi, operasi ditamatkan pada jam 10 malam susulan penemuan mayat mangsa.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan mangsa bersama empat rakannya mandi di sungai tersebut, namun tidak sempat diselamatkan daripada hanyut dibawa arus deras.
Ketika kejadian, seorang lagi kanak-kanak sempat diselamatkan oleh datuknya sendiri manakala mangsa tidak sempat dicapai sebelum hilang dibawa arus.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28