Kadar zakat fitrah di Kedah bermula RM7 hingga RM22

Iklan
Norizan (tiga dari kiri) dan Zakaria (tiga dari kanan) selepas sidang media pengumuman kadar fitrah di Kedah bagi tahun 2024 di Menara Zakat, Alor Setar pada Selasa.

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui perkenan Sultan Kedah, Tuanku Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun 2024.

Pengerusi LZNK, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, kadar zakat fitrah tersebut yang ditetapkan adalah sebanyak RM7, RM14.50 dan RM22.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penetapan harga zakat fitrah adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

"Kadar RM7 adalah bagi umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super spesial tempatan (5 peratus hancur) dan setaraf dengannya.

Iklan

"Kadar kedua adalah RM14.50 bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

"Satu lagi adalah kadar RM22 bagi yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya," katanya pada sidang media di Menara Zakat LZNK di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Norizan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berkata, semua umat Islam digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi kebiasaan makanan setiap hari.

Bagaimanapun katanya, sekiranya beras yang dimakan setiap hari adalah beras super spesial tempatan, namun individu tersebut mampu membayar lebih iaitu pada kadar RM14.50 atau RM22, maka digalakkan membayar fitrah pada kadar yang lebih baik.

"Sasaran kutipan zakat fitrah untuk tahun 2024 adalah sebanyak RM12.65 juta berbanding kutipan tahun lalu RM12.05 juta," ujarnya.

Beliau berkata, LZNK menggalakkan pembayaran zakat secara dalam talian selain bayaran dibuat menerusi 2,707 amil yang dilantik di seluruh negeri.

Katanya, pembayaran boleh dilakukan melalui laman sesawang JomZakat (jom.zakatkedah.com.my), portal pembayaran zakat fitrah (zakatfitrah.com.my), Zakat On Touch selain di kaunter bank dan amil yang dilantik di kariah masing-masing.

"Pada tahun ini juga amil yang dilantik akan menggunakan kaedah digital sepenuhnya sama ada menggunakan sistem MyAmil, memaparkan kod QR untuk diimbas pembayar zakat atau berkongsi pautan pembayaran yang disediakan.

"Pembayar pula akan menerima resit melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Norizan berkata, bagi pembayar yang menghadapi masalah menggunakan kaedah digital tidak perlu bimbang kerana amil yang dilantik akan dibekalkan buku resit zakat fitrah, namun pada kuantiti yang terhad.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28