PEMERHATI industri mengalu-alukan keputusan kerajaan United Kingdom (UK) yang mengesahkan Malaysia melaksanakan piawaian mandatori bebas penebangan hutan dalam operasi minyak sawitnya yang diguna pakai oleh semua sektor termasuk pasaran makanan manisan.
Secara ketara, Suruhanjaya Perdagangan dan Pertanian (TAC) Britain juga mengesyorkan kepada kerajaan UK supaya skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 harus diterima sebagai alat pematuhan yang terbukti untuk peraturan Usaha Wajar UK itu yang ditetapkan dalam Akta Alam Sekitar negara itu.
"Kebimbangan industri yang lebih luas telah dibangkitkan oleh kumpulan alam sekitar berkaitan penggunaan minyak sawit yang telah membawa kepada isu penebangan hutan yang meluas di beberapa kawasan global," tulis Neill Barston dalam Confectionery Production, yang dianggap sebagai penerbitan bulanan terkemuka antarabangsa untuk konfeksi, coklat, manis, industri roti dan snek sejak 1934.
Bagaimanapun, sektor ini telah memberi maklum balas dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan penekanan yang lebih besar terhadap kaedah penuaian mampan.
TAC sebelum ini telah memberikan penilaian terbaharunya kepada kerajaan UK berikutan kejayaan perundingan negara tersebut untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Ini termasuk 11 negara yang menjadi ahli, menjadikannya perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia – dengan UK bersedia untuk membuat konsesi kepada negara CPTPP, termasuk Malaysia. Eksport minyak sawit Malaysia ke UK akan menjadi sifar tarif sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Analisis TAC mengkaji perubahan ini secara khusus dan menyokong cadangan tarif sifar untuk eksport minyak sawit Malaysia pada masa hadapan ke pasaran British.
Minyak emas
Laporan TAC mengunjurkan manfaat kepada pengeksport Malaysia dan pengguna UK apabila negara ini menjadi pembekal minyak sawit lebih besar kepada pasaran UK berikutan perjanjian perdagangan CPTPP.
Tambahan pula, TAC UK dilaporkan diminta menganalisis keadaan, yang sebahagiannya disebabkan penentangan terhadap penggunaan minyak sawit daripada kumpulan alam sekitar. Greenpeace dan NGO tradisional antiperdagangan lain menentang pemotongan tarif minyak sawit, dengan mendakwa bahawa tanpa bukti, kadar penebangan hutan boleh meningkat.
Pakar perdagangan dan kemampanan TAC juga telah meneliti tuntutan daripada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan menolaknya.
Mendengar analisis pakar - bukannya kempen partisan - adalah elemen penting kepada tadbir urus yang baik. Kepakaran luas TAC termasuk Profesor Undang-undang Antarabangsa Universiti Cambridge Prof Lorand Bartels, Dr Andrew Swift merupakan salah seorang pakar terkemuka UK dalam ujian makanan dan ubat; dan bekas penasihat kepada kedua-dua kerajaan AS dan UK mengenai undang-undang perdagangan antarabangsa Shanker Singham.
Tegas Barston, minyak sawit sebenarnya, adalah salah satu komoditi yang paling diperakui dan paling dikawal selia di mana-mana di dunia: realiti ini digariskan dalam satu lagi penilaian yang berpangkalan di London yang diterbitkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
"Jawatankuasa Audit Alam Sekitar (EAC) House of Commons meneliti isu berkaitan penebangan hutan global dan mendapati minyak sawit Malaysia menjadi peneraju dalam amalan mampan.
"Menariknya, Laporan EAC yang ditulis oleh Ahli Parlimen dari beberapa parti politik UK yang berbeza seterusnya membuat kesimpulan bahawa terdapat peluang untuk belajar daripada pengalaman minyak sawit kerana komitmen kemampanan tidak meliputi komoditi lain," katanya.
Jelasnya, komitmen Malaysia terhadap kelestarian minyak sawit ialah piawaian MSPO yang diterima oleh TAC untuk mematuhi peraturan alam sekitar UK seperti Akta Alam Sekitar.
"MSPO kini berhak mendapat pengiktirafan rasmi daripada kerajaan yang telah diterima di pasaran – sebagai standard minyak sawit mandatori yang terkemuka.
"Sebagai ‘standard kesahihan’ yang jelas untuk minyak sawit Malaysia, ia adalah alat pematuhan siap sedia dan layak diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan UK,” ujarnya
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28