Nur-ul Afida dilantik CEO Bernama, Arul Rajoo Ketua Pengarang

Iklan
Arul Rajoo, Nur-ul Afida

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengumumkan pelantikan Nur-ul Afida Kamaludin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), dan Arul Rajoo Durar Raj sebagai Ketua Pengarang agensi itu berkuat kuasa pada Selasa.

Pelantikan itu diumumkan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai dalam kenyataan hari ini.

Iklan
Iklan

Chun Wai berkata, pelantikan itu diputuskan oleh mesyuarat Lembaga Pengelola Bernama pada mesyuaratnya di Wisma Bernama Selasa, dan menambah kata kekosongan jawatan lain akan diputuskan oleh pihak pengurusan.

Pada Oktober 2023, Nur-ul Afida, 57, mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan penting dalam agensi itu, yang ditubuhkan pada tahun 1967.

Iklan

Beliau yang sebelum ini turut menjalankan tugas dan tanggungjawab CEO mengambil alih jawatan itu daripada Jamaluddin Muhammad yang bersara wajib Disember tahun lepas.

Nur-ul Afida mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan telah memegang beberapa jawatan penting di Bernama, antaranya sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita.

Iklan

Beliau yang merupakan anak kepada wartawan veteran, Allahyarham AR Kamaludin, memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Harian Nasional dan menyertai Bernama pada Januari 1985 sebagai wartawan kadet.

Selama 39 tahun perkhidmatan, beliau pernah bertugas di pelbagai bahagian serta unit termasuk Meja Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto serta Meja Rencana dan Penulisan Strategik.

Beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi Bernama School of Journalism sejak 2009 dan pernah menjawat jawatan Ketua Perancangan Strategik Bernama.

Beliau menerima pendidikan awal di Bukit Bintang Girl School, dan menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam di Institut Hasni pada 1986.

Nur-ul Afida meneruskan pengajian peringkat tinggi dan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara pada 1993, dan kemudian melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengurusan Komunikasi pada 2011.

Arul Rajoo, 55, pula memulakan perkhidmatan dengan Bernama sebagai Pemberita Kadet pada tahun 1991.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) daripada Universiti Malaya itu, sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita.

Karier beliau di Bernama bermula di Meja Sukan dan beliau pernah membuat liputan pelbagai acara sukan dalam dan luar negara, antaranya Sukan Olimpik, Sukan Asia, perlumbaan Formula One, Kejohanan Bolasepak Piala Dunia Belia, Sukan SEA, Piala Thomas dan Kejohanan Olahraga Dunia.

Pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai Ketua Biro Perak sebelum berpindah ke Bangkok sebagai Koresponden di Thailand.

Pada 2010, Arul Rajoo dilantik sebagai Editor di Perkhidmatan Berita dan seterusnya Editor Meja Tugasan di Perkhidmatan Audio Visual (Bernama TV).

Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua TV dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi).

Sepanjang perkhidmatan di Bernama, Arul Rajoo juga pernah membuat liputan Perdana Menteri di luar negara, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), APEC, ASEAN Summit, Sidang Kemuncak NAM dan menyertai mesyuarat The Organisation of Asia-Pacific News Agencies (OANA). - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28