PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membatalkan 26,108 lesen peniaga kerana melanggar syarat lesen atau premis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh 2022 hingga 15 Februari lepas.
KPKT dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 384 lesen peniaga tempatan dibatalkan kerana menyewakannya kepada warga asing dan sepanjang tempoh tersebut, PBT telah melaksanakan 1,836 operasi penguatkuasaan ke atas premis perniagaan melibatkan warga asing.
Menerusi kenyataan sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, KPKT turut menjalin kerjasama yang konstruktif serta aktif dengan kementerian lain dalam melaksanakan penguatkuasaan secara menyeluruh berkaitan isu itu.
Beliau berkata, kerjasama bersepadu dengan pendekatan keseluruhan kerajaan bersama agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia adalah perlu bagi menangani isu yang semakin berleluasa itu berdasarkan kekangan bidang kuasa PBT yang terhad kepada pemeriksaan lesen premis dan perniagaan sahaja.
"Kerajaan negeri turut memainkan peranan dengan memperketat syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT di negeri masing-masing bagi mengekang monopoli perniagaan oleh warga asing,” katanya.
Kor Ming berkata, PBT juga tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja serta UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.
"Di bawah UUK Penjaja, PBT tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil malah PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja/pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT.
"Ini kerana kadar harga sewaan yang ditetapkan oleh PBT adalah di bawah harga pasaran dan bertujuan untuk memberi peluang perniagaan kepada rakyat tempatan," katanya.
Beliau berkata, di bawah UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian pula, lesen hanya dikeluarkan untuk warga Malaysia dan membenarkan warga asing diambil sebagai pekerja atau pembantu dengan syarat memiliki pas kerja atau permit dagang yang sah.
PBT, katanya, tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran yang jelas terhadap syarat lesen yang dikeluarkan oleh mana-mana perniagaan dan pemegang lesen dengan mengambil tindakan tegas secara tindakan sitaan, kompaun, penutupan premis serta pembatalan lesen. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28