PASUKAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengakhiri penantian 21 tahun untuk merangkul kejuaraan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 selepas membelasah JM Antsbees 22-1 di Padang 1 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Kemenangan itu juga merupakan yang keenam buat TNB apabila pernah memenangi liga pada 1990, 1991-92 (bertanding sebagai Kelab Kilat), 2000-2001, 2002 dan 2003.
Pemain pasukan itu Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjadi penjaring terbanyak dalam perlawanan iaitu pada minit ke-10, ke-12, dua gola pada minit ke-33, ke-47 dan ke-53.
Sementara itu, jurulatih pasukan Nor Saiful Zaini mengakui kehadiran pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jong-hyun dari Korea Selatan banyak membantu dalam mengubah rentak permainan pasukan ketika beraksi dalam gelanggang.
"Awal macam sukar nak juara..kita tidak bermula dengan baik tahun ini sebab kita ramai pemain baharu. (Namun) kita banyak belajar kena bersedia betul-betul sebelum perlawanan pertama adalah penentuan (semangat) untuk perlawanan seterusnya.
"Cara kita main, memang kita nantikan aksi tersebut di Piala TNB..mahu kekal momentum dalam aksi Piala TNB sampai final. Kita tidak sasarkan gol sebenarnya, kita nak main sepertimana mereka sebagai pemain kebangsaan,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Lebih manis apabila anak buah Nor Saiful Zaini sebelum ini telah menjuarai Piala Sumbangsih 2024 selepas meraih kemenangan 3-1 menerusi penentuan shoot-out kepada Terengganu Hockey Team (THT) pada awal Februari lepas.
Dalam satu lagi aksi di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan pasukan THT muncul naib juara selepas menewaskan Maybank, 4-3.
Penentuan kejuaraan bagi kumpulan wanita akan diadakan Khamis ini melibatkan Malaysian University yang kini menghuni tangga teratas liga dengan 20 mata, diikuti Liaoning (18 mata) dan PDRM Blue Warriors (18 mata). - Bernama