'Lembu ganggu pergerakan ambulans, bomba'

Iklan
Beberapa ekor lembu kelihatan meragut rumput di tepi jalan Kampung Telok Sisik, Endau, Mersing.

MASALAH haiwan ternakan melibatkan lembu yang berkeliaran tanpa pengawasan pemiliknya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk di Telok Sisik, Endau dekat Mersing.

Beberapa kes kemalangan kerap dilaporkan berlaku di kampung berkenaan sehingga ada di antaranya melibatkan kecederaan orang awam.

Iklan
Iklan

Malah, terdapat juga satu kes yang mana sebuah kereta remuk kesan daripada perlanggaran dengan haiwan peliharaan berkenaan yang berkeliaran itu.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI hasil temubual yang menyuarakan luahan serta cadangan bagi menangani perkara berkenaan.

Iklan

Seorang penduduk, Mohd Khairi Adzlan, 47 berkata, perkara tersebut sudah pun berlarutan sejak sekian lama dan beberapa kemalangan sudah pun berlaku di kampung berkenaan.

Mohd Khairi

Bagaimanapun menurutnya, tiada lagi kes kemalangan maut berlaku di sana namun orang ramai yang melalui kawasan tersebut diminta berhati-hati.

Iklan

"Walaupun memandu dengan perlahan tapi apabila lembu keluar berlari memang kena langgar. Malah, ada juga yang terbabas ke dalam semak sebab nak elak lembu ini.

"Lagi satu, lembu yang duduk di tengah ini. Memang ganggu pergerakan ambulans, bomba dan sebagainya,” katanya.

Justeru katanya, sudah tiba masanya, tindakan penguatkuasaan dibuat bagi memastikan kemalangan antara manusia dengan haiwan peliharaan itu tidak lagi berlaku di sana.

"Pernah pemilik lembu memarahi seorang pemandu kerana melanggar lembunya tapi tak boleh nak buat apa-apa.

"Ini kerana kawasan ini sudah menjadi tumpuan orang ramai kerana ia terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan di Johor," katanya.

Sementara itu, Jurafiza Abd Rahim, 46, memberitahu, pengalaman hampir melanggar lembu pernah dialaminya ketika mahu menghantar anaknya ke sekolah.

Jurafiza

"Kejadian itu berlaku sekelip mata kerana lembu ini tiba-tiba bangun dari berehat dan bergerak melintas jalan.

"Alhamdulillah, mujurlah saya sempat tekan brek. Kalau tidak dah tentu terjadi kemalangan antara kereta dengan lembu," katanya.

Jurafiza berkata, terdapat satu kemalangan antara sebuah kereta dengan seekor lembu berlaku baru-baru ini.

"Kemalangan ini menyebabkan bahagian hadapan kereta remuk tapi tak boleh nak salahkan pemandu sebab jalan raya bukan tempat tinggal lembu.

"Lagipun kawasan ini dah jadi tempat pelancongan tapi apabila lembu berkeliaran maka cacatlah pemandangannya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Norfizah Othman, 43, berkata, lembu-lembu tersebut menimbulkan masalah kepada penduduk kerana meninggalkan najis yang banyak di atas jalan.

Norfizah

Akibatnya, ia menyebabkan bau yang kurang menyenangkan sekali gus membuatkan pengunjung yang bercuti di tempat itu berasa tidak selesa.

"Bagi saya, seelok-eloknya kalau nak menternak lembu ini biarlah di padang ragut. Lembu ni memanglah tidak berakal tetapi sebagai pemilik mereka pastinya berakal.

"Oleh itu, semua pihak harus bertanggungjawab agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya.

Pemilik perlu kawal haiwan ternakan

Kesemua pemilik lembu di Kampung Telok Sisik, Endau, di sini diharap dapat mengawal haiwan ternakan masing-masing supaya tidak berkeliaran, kata Ketua Kampung Mukim Penyabong, Wan Azman Wan Jusoh.

Ini kerana haiwan ternakan yang berkeliaran tanpa kawalan itu dikhuatiri boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang berkunjung atau melalui kampung berkenaan, katanya.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Mersing telah beberapa kali memberikan nasihat kepada pemilik lembu tetapi adakala haiwan peliharaan mereka itu terlepas daripada kawalan.

Sebuah kereta remuk selepas berlanggar dengan seekor lembu di Kampung Telok Sisik, Endau, Mersing baru-baru ini.

"Jika ada majlis atau acara besar di sini macam Kembara Mahkota Johor atau lain-lain, kita akan beritahu supaya jangan lepaskan lembu ternakan masing-masing. Malah, kita juga berjaga pada malam hari untuk pastikan tidak ada haiwan peliharaan yang terlepas.

"Malangnya kita tak boleh lama-lama kurung lembu-lembu ini tanpa makanan. Kena lepaskan juga untuk haiwan peliharaan ini cari makan dan kemudiannya balik semula ke kandang,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Azman berkata, terdapat padang ragut di Penyabong untuk penternak lembu memanfaatkannya.

Bagaimanapun katanya, jarak agak jauh dan menyukarkan penternak untuk membawa lembu mereka ke sana berbanding membiarkannya berkeliaran di kawasan kampung dan hutan berdekatan.

"Saya harap penduduk dapatlah jaga lembu ternakan masing-masing. Jangan sampai berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya.

"Elakkan juga lembu yang dipelihara daripada memasuki kebun atau ladang sawit milik orang lain,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28