Pembangunan usahawan pemula adalah penting bagi visi Malaysia untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030, serta menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan industri digital serantau.
Agensi berkaitan, organisasi dan syarikat korporat tempatan turut memperkenalkan pelbagai program, platform, langkah dan inisiatif bagi memastikan kesan positif kepada pembangunan ekosistem syarikat pemula dalam negara.
Perkembangan positif hasil usaha ini dapat dilihat apabila syarikat-syarikat pemula tempatan berani tampil ke hadapan untuk menyahut cabaran dalam era digital dengan menawarkan pelbagai penyelesaian inovatif dan komersial, yang turut berupaya membantu menangani isu-isu yang dihadapi oleh negara.
Antaranya adalah tiga syarikat pemula bumiputera agroteknologi tempatan yang kini tampil menyediakan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran perubahan iklim untuk keterjaminan makanan di Malaysia.
Syarikat-syarikat pemula ini, khususnya Braintree Techologies Sdn Bhd (Braintree), Kapitani Sdn Bhd (Kapitani) dan AgriData Portal Sdn Bhd (AgriData) juga adalah pemenang geran Cabaran Inovasi Impak Khazanah (KIIC 2023) yang dianjurkan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional).
KIIC 2023 menarik penglibatan syarikat pemula agrimakanan dan PMKS yang inovatif untuk menangani secara aktif permasalahan yang berpunca daripada perubahan iklim terhadap sektor agrimakanan. Sebagai pemenang geran KIIC 2023, Braintree dan Kapitani menerima geran sehingga RM500,000 manakala AgriData menerima geran sehingga RM400,000.
Pada 2022, Malaysia berada di tangga ke-41 daripada 113 buah negara yang dinilai dari segi keterjaminan makanan di bawah Indeks Keterjaminan Makanan Global (GFSI).
Skor Malaysia yang rendah dalam metrik kemampanan dan penyesuaian GFSI menekankan keperluan untuk mencari penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran berkaitan perubahan iklim dalam industri agrimakanan
Selari dengan ini, wujud kepentingan yang semakin meningkat terhadap keterjaminan makanan dan penekanan kerajaan terhadap pemerkasaan perniagaan, bagi membolehkan syarikat-syarikat tempatan untuk turut serta dalam usaha menjana penyelesaian.
INFINITY 01 kurangkan tenaga buruh
Bagi Braintree, yang beribu pejabat di Bandar Baru Bangi, teknologi merupakan kunci utama kepada kejayaan sesebuah industri.
Atas prinsip tersebut, Braintree yang diasaskan oleh Arif Makhdzir, 37, selaku Ketua Pegawai Eksekutif telah berjaya melahirkan inovasi INFINITY 01, iaitu jentera penabur baja kelapa sawit sebagai alternatif kepada pemain industri dalam meningkatkan kecekapan operasi di samping menangani kekurangan tenaga buruh.
Arif yang merantau selama tujuh tahun di Kanada dan bekerja sebagai Jurutera Perisian memberitahu, INFINITY 01 merupakan robot pandu sendiri yang mampu menjadi pekerja yang fleksibel dan serba boleh serta melakukan pelbagai jenis tugas sekali gus membantu pemain industri menangani ketidakpastian dalam sektor komoditi itu terutamanya ketika pasca Covid-19.
"Kami (Braintree) bermula dengan aktiviti membaja dan robot berkenaan akan mengubah cara kerja dan ia boleh dikawal menggunakan telefon bimbit.
"Kami memilih untuk membangunkan teknologi khusus untuk kelapa sawit bagi mencipta satu alternatif baharu yang mampu memberi impak tinggi, sekali gus memanfaatkan teknologi robotik dalam revolusi pertanian negara," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Braintree yang memfokuskan bidang teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) sejak tahun 2018 memerlukan dana yang besar untuk membangunkan rangkaian produk teknologi untuk kegunaan industri perladangan.
"Dengan geran yang diperoleh menerusi KIIC 2023, ia membantu kami melanjutkan usaha menghasilkan produk-produk dan AI lain dalam menjamin sekuriti makanan dalam negara,” ujarnya.
Aplikasi TaniOS, Analitik dan TaniPASAR
Sementara itu, tiga aplikasi pintar iaitu TaniOS, Analitik dan TaniPASAR memiliki potensi besar yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan aktiviti sektor pertanian dan memastikan jaminan bekalan makanan dalam negara.
Dibangunkan oleh Kapitani, yang beribu pejabat di Subang Jaya, aplikasi itu merupakan alternatif bagi membantu meningkatkan produktiviti dan taraf hidup petani melalui keterangkuman kewangan serta penyelesaian berasaskan teknologi.
"Kami (Kapitani) berusaha memperkasakan petani tempatan dengan akses terbuka kepada sumber kewangan, teknologi serta platform pertanian digital yang boleh menangani jurang kewangan teknologi.
"Matlamat kami adalah menghidupkan semula industri pertanian dan mengubahnya menjadi sektor yang menawarkan peluang pekerjaan dan memberi manfaat ekonomi, sekali gus meningkatkan keselamatan makanan," kata Pengasas bersama Kapitani, M Nazrul Hazeri Nazrimuddin.
Mengulas mengenai platform digital berkenaan, Nazrul Hazeri menjelaskan, tiga aplikasi tersebut membolehkan petani mengakses maklumat pasaran, hubungan dengan pembeli selain mendapatkan pembiayaan untuk mempertingkatkan pendapatan.
Di samping itu katanya, aplikasi tersebut menyediakan pihak berkepentingan dengan data yang diyakini dalam membuat keputusan berasaskan maklumat yang tepat dan lengkap.
Secara spesifiknya, TaniOS dan Analitik merupakan aplikasi berasaskan web untuk pengurusan ladang, perancangan, penyimpanan rekod dan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).
Sementara itu, aplikasi TaniPASAR pula merupakan padanan pasaran antara pengguna dan petani.
Dalam pada itu, Nazrul Hazeri merancang untuk memanfaatkan geran KIIC 2023 daripada Khazanah Nasional bagi mempertingkatkan keupayaan aplikasi yang sedia ada di samping melaksanakan pemasaran serta promosi.
"Kapitani akan mendapatkan maklum balas daripada pengguna sedia ada dan bakal pengguna untuk memastikan aplikasi dan platform berkenaan memenuhi keperluan serta kehendak mereka," ujarnya yang turut memberitahu pihaknya sedang bekerjasama dengan kerajaan Melaka bagi menguji keberkesanan dan kebolehgunaan aplikasi berkenaan dalam pembangunan pertanian di negeri itu.
Penyelesaian 360 darjah untuk petani
Dalam membuka akses pasaran serta solusi pembiayaan kepada petani, AgriData, yang beribu pejabat di Penampang, Sabah, merupakan syarikat Bumiputera yang menawarkan penyelesaian lengkap menerusi platform Ag-Fund, Ag-Spark dan Ag-Market khusus untuk tujuan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Matthew Johnny Kulai, platform Ag-Fund membantu para petani mengesan pendapatan dan pengeluaran hasil sekali gus membesarkan aktiviti mereka pada tahap yang lebih baik.
Sementara itu, platform Ag-Spark pula katanya berfungsi sebagai pusat pukal untuk memastikan anak benih berkualiti tinggi, pembungkusan yang betul dan mampu memanjangkan jangka hayat produk di rak-rak jualan.
"Bagi platform Ag-Market, ia berfungsi sebagai pusat pengedaran kepada pembeli. Kami mengumpul data pertanian melalui semua aktiviti untuk membina model meramal yang membantu dalam membuat keputusan strategik untuk petani,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga platform tersebut memudahkan para petani untuk memfokuskan kepada aktiviti mereka sepenuhnya tanpa perlu bimbang dengan akses pasaran, pendapatan dan pengeluaran.
Habis,
/////////////////////
INFO:
BRAINTREE TECHNOLOGIES SDN BHD
Ketua Pegawai Eksekutif: Arif Makhdzir.
Teknologi dihasilkan: Jentera/robot pandu sendiri INFINITY 01.
Kegunaan:
INFINITY 01
- Melaksanakan kerja-kerja menabur baja tanaman.
- Mengurangkan kos operasi ladang.
-Meningkatkan kecekapan pengurusan ladang.
KAPITANI SDN BHD
Pengasas bersama: M Nazrul Hazeri Nazrimuddin.
Teknologi dibangunkan: Aplikasi TaniOS, Analitik dan TaniPASAR.
Kegunaan:
Aplikasi TaniOS dan Analitik
- Pertanian digital untuk pengurusan, perancangan, penyimpanan rekod ladang dan pelaporan myGAP.
Aplikasi TaniPASAR
- Platform pemasaran khusus untuk produk myGAP yang memudahkan hubungan pasaran yang selamat.
AGRIDATA PORTAL SDN BHD
Ketua Pegawai Eksekutif: Matthew Johnny Kulai.
Teknologi dibangunkan: Platform Ag-Fund, Ag-Spark dan Ag-Market.
Kegunaan:
Ag-Fund
- Membantu dalam mengesan pendapatan dan pengeluaran petani.
Ag-Spark
- Berfungsi sebagai pusat pukal untuk memastikan anak benih berkualiti tinggi dan pembungkusan yang betul bagi meningkatkan jangka hayat produk.
Ag-Market
- Platform pengedaran hasil pertanian.
KIIC 2023
- KIIC 2023 adalah inisiatif di bawah Dana Impak, salah satu tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia yang dilaksanakan oleh Khazanah Nasional.
- KIIC 2023, dengan tema"Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia”, menarik penglibatan syarikat pemula agrimakanan dan PMKS yang inovatif untuk menangani secara aktif permasalahan yang berpunca daripada perubahan iklim terhadap sektor agrimakanan.
Dana Impak
- Dana Impak adalah peruntukan RM6 bilion untuk tempoh lima tahun, mengutamakan pelaburan yang meningkatkan daya saing dan daya tahan negara dalam persekitaran global yang mencabar.
- Tumpuan kepada enam tema berdasarkan isu dan cabaran yang dihadapi negara iaitu Masyarakat Digital dan Hab Teknologi, Kesihatan Berkualiti, Pendidikan Untuk Semua, Pekerjaan Baik dan Mobiliti Sosial, Jaminan Makanan dan Tenaga serta Membina Ketahanan Iklim dan Persaingan di Pasaran Global.
- Dana Impak juga mengutamakan penciptaan nilai sosial dan ekonomi secara jangka panjang untuk rakyat Malaysia.