MARANG - Seorang remaja yang hampir lemas diselamatkan pasukan penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kejadian di Pantai Pulau Kekabu, dekat sini pada Selasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marang, Lt (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, empat anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 6.30 petang daripada orang awam berhubung kes lemas tersebut.
"Remaja lelaki berusia 17 tahun itu mandi dan bermain air bersama rakan-rakannya di Pantai Pulau Kekabu pada jam 6.15 petang sebelum dilaporkan lemas.
"Mangsa berjaya diselamatkan menggunakan peralatan menyelamat di air dan berada dalam keadaan sedar sebelum diberikan rawatan susulan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurutnya, mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan sihat.
Katanya, operasi tersebut ditamatkan pada jam 6.45 petang.
Dalam pada itu, Mujahid menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan daripada aktiviti mandi-manda di kawasan larangan.
"Kita beri peringatan kepada mangsa dan masyarakat di luar sana supaya tidak pergi ke kawasan larangan melakukan aktiviti air terutama musim tengkujuh ini," ujarnya.