Takaful Malaysia catat keputusan kewangan kukuh

Iklan
Takaful Malaysia mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Gambar kecil: Nor Azman

SYARIKAT Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 melalui pencapaian baharu dengan merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai kepada RM507.6 juta, meningkat sebanyak 12 peratus daripada RM453.1 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Keuntungan Takaful Malaysia selepas zakat dan cukai meningkat sebanyak 22 peratus pada 2023 kepada RM347.1 juta berbanding RM283.4 juta pada 2022.

Iklan
Iklan

Pendapatan kumpulan pada tahun kewangan dalam tinjauan meningkat sebanyak 14 peratus kepada RM2.94 bilion daripada RM2.57 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata,Takaful Malaysia telah mencapai prestasi yang membanggakan pada 2023 dan mengekalkan kedudukan syarikat melalui perniagaan terasnya dalam bancatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am, sekaligus mengukuhkan kepimpinan kami dalam industri insurans dan takaful.

Iklan

"Faktor utama peningkatan dalam pendapatan Kumpulan pada tahun dalam tinjauan adalah pertumbuhan dalam perniagaan takaful keluarga dan am.

"Kami mencatatkan satu pencapaian baharu dengan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat tertinggi bagi tahun dalam tinjauan, disumbangkan oleh perlindungan takaful yang lebih tinggi dalam kedua-dua perniagaan takaful keluarga dan am, dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi pada tahun dalam tinjauan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, dana takaful keluarga turut merekodkan pendapatan takaful kepada RM1.55 bilion untuk tahun kewangan dalam tinjauan yang meningkat sebanyak tiga peratus berbanding RM1.5 bilion pada tahun sebelumnya.

"Sebab utamanya adalah pendapatan takaful yang lebih tinggi diperoleh daripada perkhidmatan takaful yang disediakan. Perniagaan takaful am kami mencatatkan pertumbuhan kukuh dan dana takaful am kami meningkat sebanyak 26 peratus dalam pendapatan takaful untuk merekodkan RM1.28 bilion pada tahun dalam tinjauan berbanding RM1.02 bilion pada tahun sebelumnya.

"Faktor utama pendapatan takaful yang lebih tinggi bagi dana takaful am kami adalah perniagaan yang lebih tinggi daripada kelas kebakaran dan motor,” kata Nor Azman Zainal.

Keuntungan bersih Takaful Malaysia yang dijana sepanjang tahun kewangan sebanyak RM347.1 juta menjadi penyebab utama ekuiti pemegang saham Takaful Malaysia meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM1.71 bilion pada 31 Disember 2023.

Takaful Malaysia mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 14.00 sen sesaham biasa pada 29 Disember 2023 berjumlah RM117.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, yang telah dibayar pada 2 Februari 2024.

"Kami sentiasa bersedia untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan kami. Kami optimis untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam industri insurans dan takaful dan meneruskan perjalanan berprestasi tinggi kami supaya pertumbuhan jualan kasar dan pendapatan bersih yang mampan dapat dicapai.

"Asas kewangan dan daya tahan operasi yang kukuh menjadi pemangkin kepada kedudukan kami dalam pasaran, sekali gus membolehkan kami meneruskan prestasi perniagaan yang baik bagi mendokong strategi pertumbuhan kami,” kata Nor Azman.

Beliau berkata, untuk terus melangkah ke hadapan, hala tuju strategik Takaful Malaysia adalah dengan mempelbagaikan portfolio perniagaan dan memastikan perniagaan mampan pada masa hadapan supaya perniagaan teras kami yang sedia ada dapat diperkukuhkan demi memberikan manfaat kepada pihak berkepentingan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28