KOTA BHARU - Sebanyak 12 premis makanan di daerah Pasir Puteh diarah tutup manakala 89 notis dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) kerana kotor dan pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pada Selasa.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tindakan dibuat oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 02/2024 di daerah itu.
Menurut beliau, operasi terbabit melibatkan pemeriksaan kedai makan dan restoran berjumlah 62 premis dengan penglibatan 74 kakitangan JKNK.
"Dalam pemeriksaan itu, sejumlah 12 premis didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan dan diarahkan ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
"Pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar, di sini pada Rabu.
Dr Zaini berkata, sebanyak 89 Notis Seksyen 32B Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah juga dikeluarkan oleh JKNK kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan kerana melanggar Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Sebanyak lima Notis 32B yang dikeluarkan ialah bagi kesalahan bawah Peraturan 8, iaitu tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran di premis makanan, dua notis di bawah Peraturan 11 iaitu tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya, pemilik atau penghuni premis makanan.
"Sejumlah 61 notis kesalahan pula dikeluarkan mengikut Peraturan 32 berkaitan dengan pakaian pengendali makanan, 12 notis berhubungan dengan kebersihan pengendali makanan dan lima notis bagi kesalahan tidak menghadiri latihan serta notis-notis bagi kesalahan-kesalahan lain,” kata beliau.
Ujarnya, pemeriksaan kali ini memberi keutamaan kepada premis makanan yang terletak di sekitar bandar Pasir Puteh, sempadan Pasir Puteh-Terengganu, jalan-jalan utama Pasir Puteh sehingga sempadan Pasir Puteh- Kota Bharu memandangkan ia menjadi tempat tumpuan orang ramai.
Tambah beliau, jabatan itu sentiasa peka, mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini selain komited dalam memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa terbaik serta makanan disediakan adalah selamat untuk dimakan oleh pengguna.
"JKNK bertindak bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
"Saya menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pengendali makanan untuk memastikan premis mereka bersih pada setiap masa.
"Pemilik yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan dan jika masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan ke berikutnya, arahan penutupan premis akan di buat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya.
Dr Zaini turut menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di daerah Pasir Puteh dan juga di seluruh Negeri Kelantan supaya memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar.