KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil penganjur dan pihak yang terlibat dalam Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus di Parlimen pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berkaitan penganjuran berkenaan.
Menurutnya, laporan telah dibuat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Polis juga akan memanggil pihak yang terlibat dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Allaudeen berkata, pihaknya sedia maklum berkaitan hak-hak yang termaktub dalam undang-undang termasuk melibatkan himpunan.
"Kita tiada masalah, semua ada hak dan perkara itu terjamin dalam undang-undang yang diperuntukkan.
"Bagaimanapun, kita nak ingatkan ikutlah saluran dan proses yang betul, perlu maklum lima hari sebelum program atau himpunan diadakan dan disertakan dengan segala dokumen berkaitan termasuk kebenaran tuan punya tanah dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, tanggungjawab polis adalah sebagai pemudahcara serta memastikan kelancaran semua pihak dalam setiap apa yang hendak dijalankan.
"Kena ingat, bila kita bicara tentang hak dan hak kita ada hak orang lain juga di dalamnya, polis perlu mengatur gerak dari segi anggota dan sebagainya.
"Bukannya bila kata nak himpun terus berhimpun, perlu ada prosesnya dan ikut saluran yang betul," katanya.
Pada Selasa, perhimpunan yang diketuai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu berarak dari Plaza Tugu Negara ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan reformasi kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan.
Selain Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari, turut kelihatan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Dr Ahmad Taufik Johari (Sungai Petani); William Leong (Selayang); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) hadir menerima memorandum berkenaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28