SEREMBAN - Daif, kotor dan tidak terurus selain tidak dilengkapi kemudahan asas yang sempurna.
Itu gambaran keadaan asrama haram yang menempatkan seramai 165 pekerja warga asing di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut di sini yang diserbu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan dalam Operasi Bersepadu Mega Gegar atau Ops Gegar pada Rabu.
Malah bangunan dua tingkat tersebut kelihatan seperti bangunan tinggal kerana keadaan persekitarannya yang agak terbiar.
Tidak keterlaluan jika dikatakan majikan mereka menyediakan tempat tinggal dengan keadaan 'asal ada'.
Ketua Pengarah JTK Semenanjung Malaysia, Kamal Pardi berkata, pekerja warga asing tersebut bekerja di sebuah kilang perabot yang menggajikan seramai 240 pekerja termasuk 80 pekerja tempatan.
"Syarikat ini menyediakan penginapan kepada para pekerja yang digajikan namun didapati tidak kondusif dan tiada Perakuan Penginapan daripada JTK.
"Ini jelas menunjukkan majikan melakukan pelanggaran terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446)," katanya.
Hadir sama, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Pengarah JTK Negeri Sembilan, Roslan Bahari.
Menurutnya, hasil semakan JTKSM Negeri Sembilan juga mendapati, majikan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk mendapat perakuan.
Tambahnya, majikan sepatutnya menyediakan tempat penginapan pekerja yang kondusif termasuk kemudahan asas iaitu katil, tilam, almari berkunci dan penginapan itu perlu diselenggara.
"Hasil operasi hari ini (Rabu) kita dapati majikan tidak menyediakan kemudahan yang kondusif bagi pekerja mereka seperti peruntukan ditetapkan dalam Akta 446.
"Kami lihat keadaan asrama yang menempatkan sekitar 150 pekerja asing ini agak daif dan tidak terurus serta terdapat bau yang tidak menyenangkan. Keadaan tempat tidur bersepah walaupun ada menyediakan katil dan tilam," katanya.
Sementara itu beliau berkata, dalam Ops Gegar yang dijalankan di seluruh negara pada Rabu, sebanyak 31 syarikat pelbagai sektor dilawati dan 49 kertas siasatan dibuka membabitkan pemeriksaan seramai 1,235 pekerja tempatan dan 2,652 orang pekerja asing.
Ujarnya, tumpuan pihaknya adalah berkaitan Akta 446, Akta Kerja 1955 dan perintah gaji minimum.
"Namun kita dapati majikan walaupun bukan semua, masih tidak memberikan perhatian kepada peraturan yang ditetapkan ini," katanya.
Dalam pada itu Veerapan berkata, tempoh tiga bulan diberi kepada majikan untuk memindahkan pekerja mereka di Pusat Penempatan Pekerja Asing (CLQ) disediakan.
Menurutnya, setakat ini terdapat 25 CLQ di Negeri Sembilan yang telah berdaftar di bawah JTK.
"Saya juga meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua daerah untuk buat penguatkuasaan ke atas lokasi-lokasi penginapan haram pekerja asing dan jika tiada kebenaran, tindakan perlu diambil," katanya.
Selain kakitangan JTK, operasi turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28