KUALA SELANGOR - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa haram di Sungai Selangor memerlukan pemantauan berterusan kerana menjejaskan pokok berembang dan mengancam habitat kelip-kelip di Kampung Kuantan.
Pendayung pelancong, Saian Abdul Ghani, 72, berkata, keadaan bertambah teruk setiap kali hujan kerana air menjadi busuk dan berubah warna.
"Keadaan ini menyebabkan pokok berembang yang tumbuh di tepi muara sungai menjadi layu dan daunnya pula kering berwarna kekuningan," katanya.
Saian berkata, ironinya masalah pencemaran kawasan itu berlaku ketika hujan berterusan dan dikhuatiri populasi kelip-kelip berkurangan jika tiada tindakan susulan menangani isu pencemaran Sungai Selangor.
Seorang lagi pendayung pelancong, Azmi Ramli, 38, mencadangkan kerajaan supaya lebih tegas terhadap pihak yang mengancam kebersihan Sungai Selangor.
Katanya, penguatkuasaan lebih tegas perlu bagi memberi kesedaran kepada semua pihak terhadap kepentingan penjagaan dan kelestarian Sungai Selangor yang menjadi sumber ekonomi penduduk selama ini.
"Kami dapat tingkatkan pendapatan dengan adanya pelancong yang ingin menyusuri Sungai Selangor bagi melihat keindahan kelip-kelip. Jika populasi kelip-kelip terancam, bagaimana kami ingin menarik kehadiran pelancong ke sini?" katanya.
Menurutnya, kelip-kelip amat bergantung kepada pokok berembang untuk terus mengekalkan habitatnya di kawasan tumpuan pelancong itu pada masa depan.
"Kelangsungan hidupan kelip-kelip terutama spesies pteroptyx tener banyak bergantung kepada pokok bakau (berembang) sebagai sumber makanan dan tempat tinggal.
"Jika kelip-kelip lenyap dari sini sosioekonomi penduduk yang bergantung hidup dalam sektor ekopelancongan sama ada sebagai pendayung atau pemandu pelancong juga terjejas,” katanya.
Penyelaras Inspirasi Kawa, Masbudi Abdul Malek berkata, setakat ini terdapat lebih 1,000 anak pokok berembang ditanam di kawasan sungai di kampung berkenaan.
"Pokok berembang perlu sentiasa dipantau bagi memastikan ia kekal sebagai habitat kelip-kelip yang menjadi tarikan pelancong.
"Kita akan memperluaskan usaha menjaga dan memulihara ekosistem sungai di sini dengan melibatkan komuniti dan pihak berkepentingan di sepanjang hilir Sungai Selangor dari semasa ke semasa," katanya.
Selain itu katanya, mereka mahu mendidik penduduk supaya sentiasa menjaga disiplin dan tidak membuang sampah di sungai.
"Kita berharap kesedaran tentang soal kebersihan sungai ini ditanam sejak kecil lagi agar kelestarian sungai kekal terpelihara," katanya.