Mangsa tragedi banjir 2021 mohon bantuan sewajarnya

Iklan
Sebahagian rumah yang terpisah akibat banjir besar pada 2021 (Gambar kecil: Mohd Aidil)

TEMERLOH - Mangsa tragedi banjir besar pada 2021 di Kampung Batu Kapor dekat Mentakab mengharapkan bantuan sewajarnya pihak berwajib agar mereka sekeluarga dapat tinggal dalam keadaan yang lebih sempurna.

Mohd Aidil Irman Isnin, 22, berkata, kejadian banjir tiga tahun lalu menyebabkan rumah pusaka yang didiami bersama ibu, Syamsiah Bahtiar, 52, dan bapanya, Isnin Yusop, 58, rosak teruk selain beralih dari kedudukan asal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka sekeluarga tiada pilihan selain terus tinggal di rumah terbabit walaupun terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

"Bagaimanapun ayah ada juga baiki sendiri bumbung rumah dengan menampal kebocoran sedia ada. Jadi dapat juga elak daripada basah bila hujan," katanya.

Iklan
Mohd Aidil menunjukkan rumahnya yang teralih daripada kedudukan asal akibat banjir besar tersebut.

Dia yang bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan mengakui tidak mampu untuk menampung kerja-kerja membaik pulih rumahnya itu selain bapanya juga sudah tidak bekerja.

Selain itu, anak ketujuh daripada lapan adik beradik itu berkata adik-beradiknya juga mempunyai komitmen masing-masing, dan mereka sememangnya tidak mampu untuk membaikinya semula.

Iklan

Mohd Aidil berkata demikian ketika menerima kunjungan serta sumbangan Asas Madani daripada Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Ahmad Umar Khair Zainuddin yang juga Pegawai Khas Setiausaha Politik Perdana Menteri sempena lawatan kerja ke Temerloh baru-baru ini.

Mohd Aidil (kiri) ketika menerima sumbangan dan kunjungan Ahmad Umar (tengah) bersama Syahril (Kanan)

Hadir sama Ketua AMK Cabang Temerloh, Syahril Rizal Tajudin.

Dalam pada itu, Mohd Aidil mendakwa hingga kini rumah pusaka yang didiami keluarganya itu masih belum menerima bantuan baik pulih akibat banjir seperti mangsa lain di kampung tersebut.

"Jadi sememangnya berharap sangat kalau rumah ini dapat dibaiki semula kerana ia menjadi tempat kediaman kami sekeluarga," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Umar memberitahu, lawatan kerja itu memberikan tumpuan pada penduduk kampung yang memerlukan bantuan sewajarnya selain memberikan sokongan kepada AMK Cabang Temerloh.

"Selain itu, dalam kesibukan kita membantu orang lain, nasib ahli seperti Aidil yang juga ahli AMK perlu diberikan perhatian," tambahnya.

Syahril memberitahu sebanyak 40 set bantuan diserahkan kepada penduduk kampung terpilih sempena program tersebut.

"Kita juga akan membuat tindakan susulan selepas ini untuk penerima berdasarkan keperluan masing-masing," tambahnya.