KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia dijangka membentangkan cadangan bagi meminda dua rang undang-undang berkaitan siling gaji diinsuranskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) daripada RM5,000 kepada RM6,000 tahun ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ia membabitkan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja dan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan.
"Ketika ini pekerja yang mempunyai gaji melebihi RM5,000 adalah kira-kira 1.45 juta orang manakala pekerja yang berskala gaji kurang dari RM5,000 adalah 8.38 juta orang.
"Peningkatan (siling gaji) ini dapat menambah baik perlindungan keselamatan sosial PERKESO dengan meningkatkan faedah-faedah bagi kedua-dua akta,” katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pindaan berkenaan adalah selaras dengan fokus 3K kementerian iaitu untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan dalam kalangan pekerja di negara ini.
Beliau yang baru dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia Disember lepas berkata, dalam tempoh tiga bulan perkhidmatannya, pelbagai inisiatif yang berlandaskan 3K telah dilaksanakan.
Katanya, ia antara lain melibatkan inisiatif Veteran MyWira dengan kerjasama Kementerian Pertahanan bagi menyediakan laluan kerjaya yang memenuhi keperluan industri kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sementara itu, Steven berkata, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyediakan latihan secara percuma kepada 10,000 golongan pekerja menerusi program latihan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan (OPFA).
"Saya juga umumkan inisiatif pengukuhan bagi memperkasakan Mahkamah Perusahaan...contohnya kita telah tambah tempoh lantikan pengerusi atau hakim Mahkamah Perusahaan daripada dua (tahun) ke empat tahun bagi melancarkan proses mahkamah,” katanya.
Steven berkata, beliau juga telah mengarahkan kajian dibuat bagi melihat bagaimana keseluruhan ekosistem gig dapat diperkasakan bagi menjaga hak dan kebajikan golongan itu dan tidak hanya melibatkan pekerja p-hailing dan e-hailing.
"Pekerja gig ini telah lama menunggu satu ekosistem lebih baik dengan hak mereka dari segi gaji, perlindungan keselamatan sosial dan dari segi kebajikan akan lebih terpelihara,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28