Siaran langsung sidang Parlimen perlu digantung sementara - Puad

Iklan
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR - Siaran langsung sidang Parlimen perlu digantung sementara waktu agar rakyat tidak terus dihidangkan dengan sikap tidak bertamadun sesetengah ahli parlimen.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula siaran langsung sidang Parlimen di RTM.

Iklan
Iklan

"Tidak ada faedahnya jika rakyat hanya dihidang dengan gelagat tidak bertamadun sesetengah ahli Parlimen. Membazir duit pembayar cukai.

"Kalau hari-hari tengok perangai MP macam dari Pendang memang buang masa. Meluat dan tidak ada faedah,” katanya menerusi Facebook pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, siaran langsung sidang Parlimen itu boleh digantikan dengan sesi khas bersama ahli Parlimen dengan menjemput mereka yang mempunyai tatasusila dan akhlak yang baik ketika berbicara.

Semalam sidang Parlimen kecoh apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) enggan menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat sehingga membawa kepada penggantungan kehadiran selama empat hari.

Iklan

Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menarik balik keputusan itu selepas Awang menarik balik kenyataannya atas nasihat Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dewan Rakyat pada Rabu sekali lagi kecoh apabila Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai korup.

Mengulas lanjut, Mohd Puad turut meminta supaya ahli Parlimen turut disekat daripada membuat 'TV live' di Parlimen bagi mencari publisiti murahan.

"Jangan benarkan ahli Parlimen guna TV Live untuk ‘show off’, cari publisiti murahan, kaki temberang dan jaja cerita ‘hearsay’ macam Tasek Gelugor,” ujarnya.