Tuduhan 687 peserta Felcra Sri Makmur tuntut bayaran BTS RM6.4 juta tidak benar

Iklan
Majlis penyerahan bank draf kepada Pengurus Kawasan Felcra Sri Makmur, Alip Zulkefli diadakan pada 24 Februari lalu di Felcra Sri Makmur di Pekan, Pahang.

PEKAN - Kenyataan 687 peserta Felcra Sri Makmur yang menuntut agar pihak berkaitan membuat bayaran buah tandan segar (BTS) yang tertunggak sebanyak RM6.4 juta sejak April tahun lalu adalah satu dakwaan tidak benar.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan (AJKP) Felcra Sri Makmur, Asmayudin Uyub berkata, dakwaan itu juga disifatkan tidak berasas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya beberapa individu sahaja membangkitkan isu tersebut kerana berkemungkinan mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Pada perjumpaan yang dianjurkan sekumpulan individu 22 Januari lalu di Dewan Sri Makmur, tiada seorang pun wakil Felcra Berhad yang hadir.

Iklan

"Bagaimana mereka begitu yakin membuat kenyataan memesongkan pemikiran peserta-peserta yang terpengaruh dengan kenyataan tidak berasas tersebut. Mungkin juga kumpulan mereka ini seperti membawa agenda perpecahan dalam kalangan peserta," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, sebagai makluman, AJKP dipilih melalui proses mesyuarat agung peserta.

Iklan

Justeru, AJKP adalah mereka yang selayaknya untuk membicarakan perkara-perkara berkaitan kerana AJKP penghubung antara peserta dan Felcra.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa nama yang menjadi jurucakap dan mereka ini membawa pendapat peribadi kerana mereka bukan AJKP.

"Pertamanya, menyebut tidak menerima sara hidup atau bonus dalam tempoh setahun? Di mana asasnya kerana sara hidup dan bonus diterima oleh peserta. Jika benar seeloknya buat laporan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan selanjutnya," katanya yang turut memaklumkan kemelut kepada perkara itu sudah selesai pada 24 Februari lalu pada majlis penyerahan bank draf kepada Pengurus Felcra Kawasan Sri Makmur.

Pada 24 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felcra Sri Makmur, Umar Kassim, 68, dilaporkan sebagai mendakwa, bayaran RM6.4 juta itu tertunggak sejak urusan pembelian BTS diambil alih syarikat luar berbanding diuruskan oleh Felcra sebelum ini.

Umar dilaporkan mendakwa, pada mulanya segala urusan ladang peserta dilakukan oleh Felcra, namun pada Februari tahun lalu, pihak AJKP peringkat tiga bersetuju buah sawit dijual kepada syarikat luar kerana menawarkan pembelian kadar perahan minyak (OER) yang lebih tinggi berbanding Felcra iaitu 19.2 peratus.

Menyentuh mengenai dakwaan OER, Asmayudin meminta kumpulan terbabit menyatakan bukti kerana berdasarkan kepada rekod diberikan Felcra, kadarnya antara 17 hingga 18.5 peratus.

"Untuk makluman, isu OER menjadi tunjang kepada usaha perjuangan Allahyarham Zulkefli Awang Yahya selaku Ketua Peserta Felcra Sri Makmur.

"Allahyarham yang menjadi pemberi semangat untuk barisan AJKP memastikan agenda meningkatkan hasil pendapatan peserta berjaya," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Peserta Felcra Bukit Sijau, Abu Had Jaafar mengakui kecewa kerana pelbagai andaian dan tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada barisan AJKP.

"Sedangkan apa yang diusahakan ini bermatlamat untuk memberikan pendapatan yang lebih kepada peserta. Jauhkan lah diri dari fitnah kerana kita semua tahu betapa besarnya balasan Allah SWT akibat fitnah," katanya.

Wakil AJKP Sri Makmur 3, Bakri Sidek pula menjelaskan, pihak AJKP sudah berusaha hampir setahun untuk memperoleh surat pengesahan BTS daripada Felcra Berhad.

Katanya, syarikat pembeli tidak boleh membuat pembayaran sepenuhnya kepada Felcra jika tiada sebarang dokumentasi sah daripada agensi terbabit.

"Alhamdulillah usaha berterusan daripada barisan AJKP secara rasminya surat pengesahan yang lengkap telah dikeluarkan oleh Felcra pada 23 Februari lalu," katanya.