TENAGA Nasional Berhad (TNB) memasang impian untuk meraih kejuaraan treble musim ini selepas kejayaan merangkul Piala Sumbangsih dan Piala Liga TNB-MHL 2024.
Ketua Pegawai TNB Global Business Solutions (TGBS), Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim berkata, kejayaan merangkul Piala Liga TNB-MHL 2024 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa telah mengakhiri penantian selama 21 tahun pasukan apabila kali terakhir TNB memenanginya pada 2003.
"Bagi pihak pengurusan TNB, saya berharap agar barisan pemain dapat mengekalkan prestasi yang cemerlang dan memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan yang bakal diharungi bagi menjuarai Piala TNB sekali gus mencapai aspirasi memenangi tiga piala berganda (treble) buat kali pertamanya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pasukan TNB diketuai Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan bersama-sama 10 pemain kebangsaan serta pemain import berpengalaman dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun muncul juara liga selepas menewaskan pendatang baru, JM Antsbees 22-1 dalam perlawanan terakhir pada Selasa.
Setakat ini, Azrai Aizad mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 23 jaringan diikuti rapat oleh Jong Hyun dengan jumlah 20 jaringan.
"Kombinasi barisan pertahanan serta kemantapan pemain serangan berjaya mencatatkan perbezaan gol besar iaitu 82 jaringan apabila menjaringkan sejumlah 92 gol dan hanya dibolosi 10 gol daripada 10 perlawanan liga,” kata Hushairi.
Sementara itu, Nor Saiful berkata, TNB mendapatkan khidmat Jong Hyun bagi mempelajari dan meningkatkan kemahiran 'drag flick' selain memperkukuhkan pasukan TNB.
Beliau merujuk kejayaan Syed Mohamad Syafiq yang kini berada di belakang Jong Hyun bagi jaringan menerusi 'drag flick'.
"TNB mengambil langkah mendapatkan pemain import atas keperluan pembangunan kemahiran tertentu tanpa mengurangkan kebanggaan terhadap pemain tempatan yang terus diberi keutamaan,” katanya.