MP cadang tubuh jawatankuasa kaji teknologi AI, perbaiki prestasi PISA

Iklan
Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang menubuhkan satu jawatankuasa tindakan bagi mengkaji kesan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebelum ia digunakan secara meluas dalam negara.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, pengenalan teknologi AI boleh menyebabkan beberapa cabaran seperti pelanggaran hak cipta dan harta intelek, kesan kepada kelangsungan kerjaya pembuat kandungan dan pereka kreatif tempatan serta penularan maklumat palsu jika ia tidak dikawal selia.

Iklan
Iklan

"Tidak dinafikan AI mengubah hidup kita dengan banyak kebaikan, tetapi kita tidak boleh memandang enteng isu-isu yang berbangkit dengan AI,” katanya ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji kaedah meningkatkan kualiti pendidikan serta memperbaiki prestasi negara dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA).

Iklan

Beliau berkata, pelajar Malaysia kini ketinggalan dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris jika dibandingkan dengan negara lain yang menganggotai Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Kita berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA 2022, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Malah, kita terburuk dalam kalangan tujuh negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam,” katanya.

Iklan

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28