KUCHING - Penetapan harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Aidilfitri tahun ini dilihat masih tinggi terutama bagi mereka yang berkeluarga.
Seorang pegawai bank Falisha Alia, 38, berkata, penetapan harga maksimum itu sepatutnya turut mengambil kira jumlah ahli keluarga khususnya mereka yang mempunyai anak ramai.
"Orang bujang mungkin tiada masalah untuk mengeluarkan duit lebih demi menyambut perayaan bersama keluarga. Bagi yang sudah berkeluarga serta mempunyai anak, harga maksimum itu masih tinggi untuk pulang beraya,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Falisha berkata, sekiranya dia dan keluarga ingin pulang ke kampung di Sarawak untuk sambutan hari raya, mereka akan membeli tiket penerbangan tiga bulan awal daripada tarikh pulang.
"Situasi kewangan kami agak terhad. Untuk kami sekeluarga kos maksimum bagi tiket penerbangan termasuk suami dan dua anak adalah sekitar RM2,500. Jika lebih daripada itu memang kita tidak mampu.
"Bukan setiap tahun boleh balik beraya di Sarawak. Kalau situasi kewangan tidak mengizinkan, kami memilih untuk beraya di Kuala Lumpur sahaja,” katanya.
Pada 24 Februari, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan menetapkan RM599 harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tempoh perjalanan tiga hari menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Anthony berkata, ia antara lain bagi membantu melancarkan percutian orang ramai balik beraya ke kampung halaman masing-masing pada April nanti.
Seorang penjawat awam di Sibu, Ahmad Johari, 52, pula berharap penetapan harga maksimum itu dapat dilanjutkan untuk perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak, Kaamatan dan juga Krismas.
Katanya, ini kerana jumlah masyarakat Sarawak yang menyambut perayaan berkenaan agak ramai berada di Semenanjung.
Bagaimanapun Ahmad berkata, kebanyakan masyarakat Sarawak yang sudah berkeluarga di Semenanjung tidak dapat pulang ke kampung masing-masing ketika musim perayaan itu disebabkan harga tiket yang tinggi ketika itu.
"Buat mereka yang dah tiba ke Sibu pula, mereka bukannya terus nampak kampung mereka kerana Sibu hanyalah tempat persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke kampung masing-masing. Ini memakan belanja beberapa ratus ringgit lagi untuk perjalanan menggunakan bot,” katanya.
Sementara itu, Freddy John Lee, 27, anak Bumi Kenyalang yang bekerja di Kuala Lumpur, berharap proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak dapat dimuktamadkan segera bagi membantu meringankan beban mereka yang bekerja di ibu kota pulang ke kampung.
Katanya, dengan adanya syarikat penerbangan dimiliki kerajaan Sarawak kelak, syarikat seumpama itu diharap lebih cakna kepada situasi kewangan rakyat berbanding syarikat swasta.
"Isu harga tiket ke Sarawak dan Sabah yang mahal ini sudah berlanjutan lama. Bagi saya pengambilalihan MASwings nanti akan menjadi pengubah keadaan yang mampu menurunkan harga tiket di pasaran,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28