[VIDEO] PATI menyorok dalam longkang, bawah rumah kongsi dicekup

Iklan

MELAKA - Tindakan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) menyorok dalam longkang dan bawah rumah kongsi gagal selepas dicekup pihak berkuasa dalam operasi bersepadu (Ops Sapu) di sebuah tapak pembinaan di Tiang Dua di sini pada awal pagi Khamis.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, mereka bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai imigresen menyerbu kawasan tapak pembinaan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 356 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu 232 ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengemukakan sebarang dokumen perjalanan tidak sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas ditetapkan.

Anirwan

Katanya, PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia iaitu 82 lelaki dan 12 wanita; 134 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Pakistan.

Iklan

"Semua yang ditahan berusia 24 hingga 70 tahun melibatkan 220 lelaki dan 12 wanita.

"Semasa serbuan ada PATI cuba meloloskan diri dengan menyorok di dalam longkang dan bersembunyi di rumah kongsi mereka," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Iklan

Tambah beliau, terdapat juga beberapa warga asing yang mendiami rumah separuh siap di tapak projek perumahan dipercayai disebabkan rumah kongsi yang dibina majikan tidak mencukupi.

Sebahagian warga asing yang diperiksa dalam Ops Sapu di sebuah tapak pembinaan di Tiang Dua pada awal pagi Khamis.

Ujarnya, operasi berakhir jam 3 pagi itu disertai seramai 160 pegawai imigresen Melaka, dibantu imigresen Putrajaya dan imigresen Negeri Sembilan, selain pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kesemua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut," katanya.

Seorang warga Bangladesh ditahan pegawai imigresen ketika menyorok di dalam longkang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28