Ops Khas: JPJ keluarkan 165,553 saman

Iklan
Lokman melihat proses pemeriksaan had berat lori yang dilakukan di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru pada malam Rabu.

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 165, 553 saman dalam Ops Khas di seluruh negara yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah bermula 1 sehingga 28 Februari.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Undang-undang JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, saman paling tinggi melibatkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu (LMM) berjumlah 42,505 atau 26 peratus diikuti gagal memperbaharui dan tiada lesen kenderaan motor (LKM) (32,979 atau 20 peratus).

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, saman turut dikeluarkan atas kesalahan teknikal iaitu sebanyak 29,976 dan tiada insurans (27,239 atau 16 peratus).

"Selain itu, saman terhadap kesalahan pemandu dengan sikap memandu secara tidak selamat dan berisiko tinggi sebanyak 7,340 atau empat peratus.

Iklan

"Kesalahan ini melibatkan had laju, langgar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, pandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan.

"Sementara lain-lain kesalahan pula sebanyak 20,264," katanya dalam sidang akhbar sempena ops Khas di Plaza Tol Skudai di sini pada malam Rabu.

Iklan
Lokman melihat proses pemeriksaan had berat lori yang dilakukan di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru pada malam Rabu.

Turut hadir, Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.

Lokman berkata, bagi kesalahan pamandu yang menggunakan bahan terlarang pula melibatkan 33 individu didapati positif dadah jenis syabu, methamphetamine serta ganja jenis tetra hydrocannibol (THC) dan opiat selepas menjalani ujian air kencing.

Tambah beliau, sejumlah 17,762 saman dikeluarkan terhadap warga asing dalam tempoh tersebut atas pelbagai kesalahan.

"Kesalahan itu melibatkan tiada LMM sebanyak 6,380; tiada LKM (2,120); tiada insurans (1,843) dan lain-lain kesalahan (7,419)," katanya.

Sepanjang operasi itu yang turut disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Johor serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), beliau berkata, sebanyak 768,276 kenderaan diperiksa dan 6,413 kenderaan disita.

Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kes kemalangan yang melibatkan kematian meningkat iaitu keseluruhan berjumlah 6,344 kes pada tahun 2023 berbanding 6,080 kes pada 2022.

"Ini menunjukkan peningkatan lapan peratus kes pada tahun lalu. Daripada kes berkenaan kira-kira 4,000 yang maut adalah penunggang motosikal dengan purata setiap dua jam akan ada kemalangan maut," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28